LEBIH 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula untuk memastikan perundangan kekal relevan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
“Contohnya dalam isu dunia digital, undang-undang yang ada sekarang mungkin tidak boleh lagi terpakai atau perlu dipinda supaya sesuai dengan situasi yang ada,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Beliau berkata perkara ini kepada wartawan selepas Perhimpunan Bulanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di Putrajaya hari ini.
Azalina berkata senarai undang-undang lapuk, beberapa daripadanya dirangka sebelum kemerdekaan akan disediakan untuk pertimbangan perdana menteri bagi tindakan lanjut.
“Mungkin kita perlu menyediakan kertas ke Jemaah Menteri, senaraikan undang-undang (lapuk) ini dan mencadangkan penubuhan jawatankuasa Kabinet khas untuk menilai, kerana undang-undang ini membabitkan semua agensi termasuk kerajaan negeri, Kerajaan Pusat dan kerajaan tempatan,” katanya.
Beliau menekankan kajian semula ini perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Pejabat Peguam Negara, badan kehakiman dan fakulti undang-undang di universiti yang mempunyai kepakaran untuk menilai perundangan tersebut.
Baru-baru ini media melaporkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul memanggil satu mesyuarat dengan setiausaha-setiausaha agung dan penasihat undang-undang dari setiap kementerian untuk melihat semula undang-undang yang lapuk.
Beliau berkata langkah sedemikian perlu diambil untuk menilai undang-undang yang tidak lagi relevan atau sesuai dengan era digital dan yang perlu dikemas kini mengikut perkembangan semasa. – 12 Ogos, 2024.
Komen