KETUA Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat bermula hari ini.
Ahli Parlimen Machang itu digantung selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mengemukakan usul terhadapnya.
Wan Ahmad Fayhsal digantung susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) semasa perbahasan pada 1 Julai.
Ketika mengemukakan usul tersebut, Azalina berkata rujukan Wan Fayhsal kepada surat itu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu (yang didakwa sebagai dalang) tetapi juga kepada pegawai kerajaan yang mungkin terjejas secara tidak adil oleh dakwaan yang tidak berasas itu.
Usul tersebut kemudian dibahaskan oleh seorang ahli Parlimen dari setiap blok sebelum diluluskan melalui undi blok dengan 100 menyokong, 63 menentang, dan tiga berkecuali.
Seramai 46 orang ahli Parlimen tidak hadir. – 18 Julai, 2024.
Komen