JPM kaji Akta Parlimen penggal tetap, kata menteri


Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata usaha penggubalan Akta Parlimen berpenggal tetap bukan satu langkah terdesak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2024.

USAHA penggubalan satu Akta Parlimen berpenggal tetap bukan langkah terdesak, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai menghormati mandat pilihan raya, proses demokrasi dan memastikan kestabilan politik dalam keadaan semasa geopolitik yang tidak menentu.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata pihaknya menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung penggubalan akta berkenaan.

“Terdapat banyak negara yang mengamalkan Parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.

“Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Zahid dilapor mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Cadangan itu dikemukakan bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan meneruskan kajian terperinci termasuk kajian impak dan mendapatkan pandangan orang awam berkenaan pengenalan Akta Parlimen berpenggal tetap, tahun ini.

Katanya, dapatan daripada kajian yang menyeluruh itu akan diguna pakai bagi pertimbangan dasar oleh Kabinet.

“Sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan juga akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya. – Bernama, 14 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen