CALON yang menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri mesti mengutamakan isu tadbir urus hutan di Kelantan agar komuniti Orang Asli tidak terus menderita, kata Greenpeace Malaysia.
Kumpulan tersebut berkata mereka bersama Orang Asli di Kelantan untuk memperjuangkan tindakan iklim melalui tadbir urus hutan yang lebih kuat.
Mereka berkata Orang Asli di negeri tersebut berdepan kemerosotan alam sekitar yang tidak terkawal akibat penebangan hutan besar-besaran.
Ini menyebabkan komuniti tersebut kehilangan hak asasi manusia dan keperluan asas seperti air bersih.
Greenpeace Malaysia menambah calon pilihan raya perlu memberi tumpuan kepada kesan perubahan iklim dan keperluan untuk tadbir urus hutan yang lebih kuat untuk menangani isu-isu ini.
“Seperti mana hutan memerlukan ekosistem yang kukuh untuk berkembang, tadbir urus yang berjaya memerlukan sistem yang mantap untuk terus berkembang.
“Adalah penting kita memilih wakil politik yang kompeten dan mampu melaksanakan penyelesaian perubahan iklim yang ditetapkan dengan fokus pada pemeliharaan sumber semula jadi dan perlindungan alam sekitar.
“Wakil-wakil ini harus diberi tanggungjawab untuk menggubal undang-undang yang kukuh berkaitan dengan tadbir urus hutan bagi memastikan kelestarian dan kemakmuran jangka panjang Kelantan,” kata Penggiat Kempen Alam Sekitar Bersih Greenpeace Malaysia, AnnJil Chong.
Beliau juga berkata undang-undang perhutanan yang berkesan di peringkat kebangsaan termasuk penguatkuasaan peraturan yang ketat diperlukan untuk mencegah pembalakan dan penebangan hutan yang tidak sah dan tidak terkawal.
Dalam masa sama beliau berkata pihak berkuasa mesti mengakui dan meningkatkan sokongan hak Orang Asli terhadap tanah warisan dan mata pencarian mereka.
Beliau juga menyeru agar dilaburkan dalam sumber tenaga boleh diperbaharui khususnya tenaga solar untuk mengurangkan pergantungan kepada tenaga yang tidak lestari.
Greenpeace Malaysia berkata keparahan isu yang dihadapi oleh rakyat Kelantan terutama komuniti Orang Asli yang terdedah mempunyai kesan yang mendalam dan berkekalan.
“Walaupun kesannya yang jauh, terdapat jurang antara apa yang dibincangkan tentang Kelantan di Parlimen dan oleh wakil-wakil terpilih,” kata kumpulan tersebut.
Greenpeace Malaysia juga menekankan menurut Global Forest Watch, Kelantan kehilangan kira-kira 179,000 hektar hutan primer antara 2002 dan 2023.
Tambahnya ini bersamaan dengan kira-kira 250,000 padang bola sepak FIFA dari hutan di Kelantan.
Kumpulan itu turut berkata kerajaan negeri Kelantan terus berusaha untuk mengeluarkan kawasan sensitif alam sekitar (ESA) seperti kawasan Gua Musang dari status perlindungan.
Ini akan mempengaruhi Taman Negara Kelantan dan janji kerajaan persekutuan untuk mencapai 50% kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia. – 6 Ogos, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen