Jerebu : Hospital awam Johor sedia terima pesakit, kata exco


Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2023.

SEMUA hospital awam di negeri ini bersiap sedia untuk menerima peningkatan pesakit susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dicatatkan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Ling Tian Soon berkata berdasarkan pengamalan berdepan situasi jerebu sebelum ini, dijangka berlaku peningkatan masalah pernafasan dalam kalangan masyarakat.

“Saya buat tinjauan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan pihak hospital bersedia untuk menerima kemungkinan pesakit yang ada masalah pernafasan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) juga memberi nasihat kepada orang ramai agar tidak membuat aktiviti luar, banyakkan minum air kosong serta kepada mereka yang mempunyai masalah pernafasan kita galakkan pakai pelitup muka,” katanya kepada pemberita pada sidang media ketika melakukan tinjauan di sekitar Larkin di Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya K. Raven Kumar berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil susulan kualiti udara tidak sihat itu.

“Kita perlu tengok laporan terlebih dahulu dalam beberapa hari ini dan kita akan adakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan sekali.

“Nasihat pertama kalau dah lebih daripada bacaan 100 kita perlu kurangkan aktiviti luar, kemudian nasihat kedua kena tengok keadaan (kalau) betul betul tidak memuaskan, tidak sihat, bahaya, barulah kita tengok macam mana kalau perlu tutup (sekolah atau tidak),” katanya dalam acara yang sama.

Mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan tindakan menutup sekolah akan diambil sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 200 manakala bagi IPU melebihi 100, aktiviti di luar kelas dihentikan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Dr Mohd Famey Yusoff ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya giat menjalankan pemantauan berterusan susulan kawasan Larkin di sini dan daerah Batu Pahat mencatatkan IPU tidak sihat.

“Pemantauan di Johor dan dalam negara menunjukkan tiada titik panas yang dikesan. Justeru, kita memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang pembakaran terbuka bagi meminimumkan impak daripada jerebu tempatan.

“Selain itu, kita juga akan memantau secara rapi dan berterusan kualiti udara dan akan memaklumkan keadaan ini dari masa ke semasa,” katanya.

Setakat 4 petang ini, menurut aplikasi MyIPU, kualiti udara tidak sihat direkodkan di Larkin dengan bacaan 155 manakala Batu Pahat merekodkan bacaan 133. – Bernama, 1 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen