Cabaran serantau, global burukkan lagi kelemahan di Afrika, kata suruhanjaya


Perubahan iklim, harga makanan yang tinggi dan gangguan rangkaian bekalan menyebabkan kelaparan serta kekurangan zat makanan bagi berjuta-juta penduduk di Afrika Tengah dan Timur. – Gambar EPA, 27 September, 2023.

KESAN perubahan iklim serta cabaran serantau dan global lain telah memburukkan lagi kelemahan sedia ada pada banyak orang di Afrika, kata seorang pegawai kanan Suruhanjaya Ekonomi PBB untuk Afrika (UNECA) pada Selasa, lapor Xinhua.

“Pandemik Covid-19, kesan perubahan iklim, dan sekatan bekalan akibat krisis Ukraine yang meningkatkan inflasi serta keadaan monetari dan kewangan yang semakin ketat telah memburukkan lagi kelemahan sedia ada ramai orang di wilayah kita,” menurut Pengarah Pejabat sub-rantau UNECA untuk Afrika Tengah, Jean Luc Mastaki dipetik sebagai berkata oleh UNECA dalam satu kenyataan.

Mastaki membuat kenyataan itu semasa pertemuan empat hari Jawatankuasa Antara Kerajaan Pegawai Kanan dan Pakar (ICSOE) untuk Afrika Tengah dan Timur, yang dianjurkan bersama oleh UNECA dan kerajaan Burundi. Pertemuan tersebut diadakan pada Selasa di Bujumbura, Burundi.

Mastaki turut menyeru peserta mesyuarat ICSOE untuk membincangkan cara mengatasi cabaran utama yang dihadapi negara-negara Afrika Timur dan Tengah, dengan matlamat meningkatkan pengeluaran industri dan pertanian dengan standard kualiti dan alam sekitar.

Sementara itu, pengarah pejabat sub-rantau UNECA untuk Afrika Timur, Mama Keita berkata perubahan iklim, harga makanan yang tinggi, dan gangguan rangkaian bekalan menyebabkan kelaparan dan kekurangan zat makanan bagi berjuta-juta penduduk di Afrika Tengah dan Timur. 

Keita turut menyeru peserta dalam pertemuan itu untuk membincangkan cara mengatasi halangan kepada keselamatan makanan dan potensi platform makanan digital, yang boleh memudahkan pertukaran produk makanan dan maklumat yang lebih mudah dan berkos efektif di kalangan pengeluar, pengguna dan peniaga. – Bernama, 27 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen