Dr Mahathir marah dan sedih atas pembunuhan Ismail Haniyeh


Dr Mahathir Mohama berkata beliau berasa bertuah dan bangga dapat berkenalan dengan Ismail Haniyeh selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2024.

DR Mahathir Mohamad hari ini meluahkan rasa marah dan sedih atas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau berasa bertuah dan bangga dapat berkenalan dengan Ismail selama ini.

“Saya sedih kerana Ismail seorang lelaki baik dan berani yang menghabiskan seluruh hidup beliau memperjuangkan pembebasan Palestin telah terbunuh.

“Saya marah kerana dunia Barat yang mampu membuat perubahan memilih untuk berdiam diri dan sebaliknya menyokong pihak Israel dalam melakukan keganasan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Hamas berkata Ismail dibunuh dalam serangan rejim Zionis di kediamannya di Tehran”.

Mahathir berkata Ismail lelaki yang lembut tutur kata, namun memiliki hati seperti singa dan perjuangannya yang tidak mengenal lelah dalam memperjuangkan pembebasan Palestin daripada pendudukan Israel adalah sesuatu yang patut dicontohi oleh setiap pejuang kebebasan.

“Beliau seorang yang mengagumkan dengan keberaniannya membela rakyatnya jelas berpunca daripada hati nurani yang bersih dan berpandukan kompas moral yang berteraskan kemanusiaan dan keyakinan agama.

“Rakyat Palestin dan seluruh dunia yang berprinsip kehilangan seorang lelaki hebat, seorang pemimpin dan seorang pembebas.

“Kerana itulah Israel, negara yang jahat dan pembunuh beramai-ramai berusaha untuk menghapuskan Ismail kerana mereka takut dan membenci segala yang diperjuangkannya,” katanya.

Beliau berkata Ismail merupakan peringatan tentang betapa rendahnya negara Israel dan semua yang menyokong rejim Zionis adalah hipokrit serta pengganas sebenar.

“Pembunuhan ini membuktikannya. Pembunuhan tanpa melalui proses perundangan oleh Israel terhadap pejuang kebebasan Palestin menunjukkan betapa sombong, kejam dan terkutuknya rejim ini.

“Namun, media Barat dan beberapa pemimpin mereka terus mengutuk Hamas dan Ismail sebagai pengganas, walhal mereka berjuang menentang - Benjamin Nethanyahu, Angkatan Pertahanan Israel dan peneroka haram Yahudi - yang selama beberapa dekad telah melakukan tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin.

“Pemimpin Barat yang bertamadun sendiri melabel Ismail, Hamas dan pejuang kemerdekaan Palestin yang lain sebagai pengganas. Kemunafikan Barat dan pihak sejenisnya memang memualkan,” katanya.

Mahathir berkata walaupun mereka mungkin membunuh Ismail, perjuangannya tidak akan mati kerana rakyat Palestin tidak akan membiarkan kematiannya sia-sia.

“Mereka mungkin membunuh Ismail tetapi bukan idea dan perjuangannya.

“Kepada keluarga Ismail, terimalah ucapan takziah saya yang sedalam-dalamnya atas kehilangan seorang lelaki yang luar biasa.

“Kepada Hamas dan rakyat Palestin, anda telah kehilangan seorang pemimpin yang hebat, seorang yang berani dan berpegang pada keyakinan,” katanya. – 1 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen