Malaysia sedia bekerjasama dengan Indonesia tempatkan pasukan pengaman di Palestin, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Indonesia dalam menempatkan pasukan pengaman ke Palestin sekiranya PBB memberikan mandat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Indonesia dalam menempatkan pasukan pengaman ke Palestin sekiranya PBB memberikan mandat.

Topik ini menjadi titik perbincangan utama semasa panggilan telefon antara beliau dan Presiden Terpilih Indonesia yang juga Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto.

Anwar berkata beliau mengalu-alukan idea kerjasama dalam misi pengaman antarabangsa Malaysia-Indonesia dan potensi kerjasama ini untuk diperluaskan ke rantau Asean.

“Dalam perbualan kira-kira tiga minit itu, kami juga sempat bertukar pandangan mengenai isu semasa, khususnya peranan Prabowo dalam mewakili Indonesia ke persada antarabangsa akhir-akhir ini dan membawa visi, kolaborasi serta keamanan serantau dan sejagat.

“Menyentuh situasi kemanusiaan di Palestin, saya maklumkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama termasuk dalam aspek penugasan pasukan pengaman bersama Indonesia sekiranya diberi mandat oleh PBB.,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Anwar juga berterima kasih dan mendoakan agar Prabowo cepat sembuh selepas menjalani pembedahan besar minggu lalu.

Turut mendoakan agar Prabowo diberikan rawatan baik dan penjagaan rapi sepanjang tempoh pemulihan selain diberikan kesembuhan segera untuk bingkas kembali melaksanakan tanggungjawab diamanahkan,” katanya.

Prabowo yang merupakan presiden terpilih untuk tempoh 2024-2029 menjalani pembedahan untuk pulih daripada kecederaan yang dialaminya semasa perkhidmatan tentera. – 2 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen