KETUA Pengarah Jabatan Laut Kapten Mohamad Halim Ahmed didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan menipu pendahulunya untuk mengeluarkan surat pengecualian syarikat perkapalan empat tahun lalu.
The New Straits Times melaporkan, surat itu adalah untuk membenarkan syarikat berkenaan membawa minyak gred berat ke perairan Malaysia tanpa kelulusan menteri pengangkutan.
Halim, 57, berkata, dia memahami pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Anita Harun.
Tertuduh, yang merupakan setiausaha bahagian maritim kementerian pengangkutan pada masa itu, didakwa menipu Baharin Abdul Hamid, KP jabatan ketika itu.
Beliau telah berbuat demikian dengan membentangkan surat daripada kementerian bertarikh 27 Oktober 2020, yang menyatakan: “YB Menteri Pengangkutan, pada 22 Oktober 2020, telah memutuskan bahawa tempoh untuk syarikat perkapalan, yang telah diberi pengecualian untuk membawa gred berat minyak di perairan Malaysia, perlu diselenggara pada tarikh yang telah diluluskan.”
Bagaimanapun, tiada kelulusan sebegitu dan ia menyebabkan Baharin mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat perkapalan terbabit, yang tidak akan dilakukannya jika tidak ditipu sedemikian.
Halim didakwa melakukan kesalahan itu di ibu pejabat Jabatan Laut di Pelabuhan Klang pada 27 Oktober 2020.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi menggesa mahkamah menetapkan ikat jamin antara RM50,000 dan RM70,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Halim melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Selangor sebulan sekali.
Hakim menetapkan 7 Oktober untuk sebutan semula dan turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai.
Tertuduh diwakili Farhan Read, manakala Feisal dibantu timbalan pendakwa raya Muaz Ahmad Khairuddin. – 1 Ogos, 2024.
Komen