LIMA ahli keluarga lelaki yang didakwa menyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor pada 17 Mei lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
Mereka ialah Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62; isterinya Rosna Jantan, 59, yang merupakan warga Singapura dan anak mereka Radin Romyullah Radin Imran, 34, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.
Laporan dalam The Star menyebut mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru menggunakan kenderaan berasingan di bawah kawalan ketat polis.
Pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Radin Imran berdepan empat pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan kerana menghasut keganasan dengan mempromosikan ideologi keganasan yang dikaitkan dengan Negara Islam (IS) ke dalam keluarganya termasuk penyerang Radin Luqman, 21.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara akhir 2014 dan 17 Mei 2024 di sebuah rumah di Jalan Rabani di Kampung Sungai Tiram.
Dalam pertuduhan kedua dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan kerana menyokong keganasan dengan menyimpan empat senapang angin buatan sendiri untuk aktiviti IS di lokasi sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.45 pagi pada 17 Mei lalu.
Pertuduhan ketiga ialah Radin Imran didakwa berjanji setia (baiah) kepada ketua IS Abu Bakar Al-Baghdadi di lokasi sama pada akhir 2014.
Kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan manakala bagi pertuduhan keempat Radin Imran didakwa memiliki buku bertajuk “Hakikat Islam & Hakikat Syirik” oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang dikaitkan dengan IS.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama pada 17 Mei dan 19 Mei antara 10.45 pagi dan 2.30 petang.
Pertuduhan ini (keempat) adalah di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.
Bagi Radin Romyullah pula dia didakwa atas dua kesalahan termasuk bersumpah taat setia kepada Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan IS dan aktivitinya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama antara akhir 2014 dan 17 Mei dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.
Rosna dan anak perempuannya Farhah Sobrina dan Mariah didakwa dengan sengaja tidak memberikan maklumat berhubung jenayah berkaitan ideologi keganasan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan ini di lokasi sama antara April 2017 dan 17 Mei dan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.
Kelima-lima mereka memahami pertuduhan terhadap mereka dan mahkamah menetapkan 31 Julai untuk sebutan semula kes.
Tiada jaminan ditawarkan dan Che Wan Zaidi menasihatkan keluarga melantik peguam atau mewakili diri mereka sendiri.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Berat Jabatan Peguam Negara Putrajaya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan Fazeedah Faik.
Dalam serangan 2.45 pagi pada 17 Mei lalu konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terbunuh selepas mereka diserang oleh seorang lelaki yang bersenjatakan parang. Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, ditembak.
Penyerang itu akhirnya ditembak mati.
Susulan serangan itu polis menahan lima ahli keluarga suspek bersama dua lagi individu yang kesemuanya direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – 19 Jun, 2024.
Komen