PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersatu menyokong pasukan kebangsaan dalam misi mereka meraih pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau menggesa rakyat Malaysia untuk berdoa agar pasukan kebangsaan mencatat sejarah dengan prestasi cemerlang serta meraih pingat dalam acara masing-masing.
“Marilah kita semua mengikuti, menonton dan berdoa kepada Allah untuk kejayaan ‘Pasukan MAS’. Marilah kita mengirimkan ucapan terbaik dan kejayaan kepada mereka.
“Selamat maju jaya buat 26 atlet negara. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi langkah kalian di Paris, Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan berserta video yang dimuat naik di Facebook.
Pasukan Malaysia terdiri daripada 26 atlet yang akan mewakili negara dalam acara berprestij ini bersaing dalam sembilan sukan iaitu menyelam, renang, layar, menembak, berbasikal trek, berbasikal jalan raya, mengangkat berat, badminton, golf, memanah dan larian.
Malaysia akan memulakan penyertaannya dalam acara sukan terbesar di dunia esok dengan pemanah muda Ariana Nur Dania Mohamad Zairi bersaing sehari sebelum majlis pembukaan pada Jumaat.
Acara empat tahun sekali ini akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos. – 25 Julai, 2024.
Komen