Beijing perketat peraturan masuk Covid-19 menjelang Sukan Olimpik


Kurang 100 hari lagi temasya itu pada Februari, China bersiap sedia menghadapi cabaran terhadap strategi sifar-Covid apabila beribu-ribu atlet antarabangsa turun ke Beijing selepas beberapa bulan kawalan sempadan yang ketat. – Gambar EPA, 17 November, 2021.

SEKATAN baharu Covid-19 terhadap pelawat berkuat kuasa di Beijing pada Rabu yang memerlukan ujian negatif selain membatalkan penerbangan domestik ketika bandar itu cuba kekang koronavirus menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Kurang 100 hari lagi temasya itu pada Februari, China bersiap sedia menghadapi cabaran terhadap strategi sifar-Covid apabila beribu-ribu atlet antarabangsa turun ke Beijing selepas beberapa bulan kawalan sempadan yang ketat.

Semua pelawat ke ibu negara kini perlu menunjukkan keputusan ujian saringan Covid negatif, manakala penerbangan dari kawasan berisiko tinggi di China akan dibatalkan atau dihadkan kepada satu sehari dengan kapasiti yang dikurangkan.

“Beijing adalah ibu negara dan ada hubungan serantau dan antarabangsa yang kuat… Virus itu tidak boleh menular ke Beijing dan ia tidak boleh merebak di Beijing,” kata jurucakap bandar raya itu, Xu Hejian pada sidang akhbar pada Selasa.

Sekatan baharu itu juga termasuk ujian Covid setiap tiga hari untuk lebih 30,000 orang yang bekerja dalam import rantaian sejuk di bandar itu.

China telah berkata pandemik awal di kalangan pekerja pasar Beijing dan pekerja dok di Qingdao timur China dikaitkan dengan produk rantaian sejuk.

Jumlah kes di China kekal jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara, dengan hanya lapan jangkitan domestik pada Rabu.

Namun pihak berkuasa tidak ambil mudah kerana perhatian antarabangsa tertumpu kepada Beijing menjelang temasya musim sejuk.

Tiada penonton dari luar China akan dibenarkan menghadiri Sukan Olimpik, yang akan diadakan dari 4 hingga 20 Februari dalam gelembung gelung tertutup.

Dianggarkan 2,900 atlet perlu divaksin sepenuhnya atau kuarantin 21 hari semasa ketibaan. Mereka juga akan diuji setiap hari.

China telah pun mengenakan kawalan sempadan yang sangat ketat sejak Mac lalu, menyebabkan keluarga terpisah dan ramai yang tidak dapat kembali bekerja dari luar negara.

Tahun ini, peraturan telah dilonggarkan sedikit, tetapi mereka yang memasuki negara itu masih perlu menjalani kuarantin hotel, pemantauan dan ujian selama berminggu-minggu. – AFP, 17 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen