KILANG yang didakwa menyebabkan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah masih diasat walaupun lesen kilang tersebut digantung oleh majlis tempatan, kata ahli Exco Selangor, Jamaliah Jamaluddin.
Jamaliah berkata masalah pencemaran bau itu juga sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang.
“Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sedang menyiapkan siasatannya di bawah Seksyen 79(1) Enakmen Luas 1999 – di mana mereka yang terlibat boleh didenda antara RM200,000 hingga RM1 juta dan dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) menahan dua individu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 – yang membawa hukuman penjara wajib sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan berita semalam yang menyatakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menggantung lesen kilang itu dan mengenakan denda RM1,000 kepada pemiliknya.
Pencemaran bau menyebabkan Air Selangor menutup empat loji rawatan air di negeri itu.
Jamaliah berkata pihak berkenaan akan berjumpa tidak lama lagi untuk memutuskan langkah seterusnya.
“Kerajaan negeri Selangor tidak akan kompromi dengan sesiapa yang cuba mencemarkan sumber air kita dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang yang sedia ada,” tambahnya.
Semalam Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar mendedahkan pencemar yang didakwa adalah sebuah kilang pemprosesan bahan akrilik di kawasan industri Jalan Kampung Orang Asli, Kuang, Rawang.
Beliau menambah dua individu ditahan untuk membantu siasatan.
“Kami mengarahkan pemilik kilang untuk membersihkan premis mereka, sistem perparitan di sekelilingnya dan sungai yang terjejas dan merek menyelesaikannya pada petang semalam,” kata Wan Abdul Latif dalam satu kenyataan.
Pembersihan dilakukan oleh kontraktor berlesen. Kilang tersebut memproses bahan akrilik dan pemeriksaan mengesahkan punca pencemaran bau adalah kebocoran bahan kimia yang dikenali sebagai poli (asid metakrilik) (PMAA) dari tangki storan.
“Produk cecair ini dihasilkan oleh premis,” kata Wan Abdul Latiff.
Beliau berkata tumpahan itu melimpah ke dalam sistem perparitan premis kemudian ke parit jalan utama dan akhirnya ke Sungai Kuang.
“Aliran Sungai Kuang memasuki Sungai Kundang kemudian ke Sungai Sembah dan akhirnya ke Sungai Selangor. Kebocoran kimia ini mengakibatkan pelepasan bau yang kuat dan menusuk dari PMAA,” katanya. – 25 Julai, 2024.
Komen