Panasonic bakal tutup kilang pembuatan audio di Johor, lapor media


Menurut laporan Malaysiakini, Panasonic AVC Networks Johor Malaysia Sdn Bhd akan menghentikan dua barisan pengeluaran di kilangnya di Pasir Gudang. – Gambar EPA, 9 Jun 2023.

SEBUAH kilang di bawah kumpulan Panasonic di Malaysia akan menghentikan pengeluaran produk audio Mac tahun depan, bakal menjejaskan kira-kira 800 pekerja.

Menurut laporan Malaysiakini, Panasonic AVC Networks Johor Malaysia Sdn Bhd (PAVCJM) akan menghentikan dua saluran pengeluaran di kilangnya di Pasir Gudang.

Pengarah Urusan PAVCJM Hidekazu Ennouji menerusi e-mel kepada kakitangan memaklumkan syarikat tersebut akan menghentikan pengeluaran produk audio menjelang hujung Mac 2024, lapor portal itu.

Hidekazu dipetik sebagai berkata dua barisan pengeluaran produk audio itu akan dipindahkan ke Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd (PAVCKM) di Section 21, Shah Alam mulai Oktober ini.

Malaysiakini minggu lalu melaporkan saluran pembuatan membabitkan tiga syarikat di bawah kumpulan Panasonic di Malaysia mungkin akan ditutup, termasuk Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PMMA) yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Ennouji menerusi e-mel juga mengesahkan pemberhentian pengeluaran kamkorder digital menjelang akhir September tahun depan, dan akan menyatukan pengeluarannya kepada Panasonic AVC Networks Xiamen (PAVCX) di China.

“Ini adalah untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran di peringkat global. Pemindahan produk camcorder kepada PAVCX akan bermula pada September 2024.

“Kira-kira 320 pekerja akan terjejas menjelang akhir Disember tahun depan,” katanya dipetik Malaysiakini.

Mengenai skim pampasan yang ditawarkan kepada pekerja yang terjejas pula, Ennouji berkata faedah persaraan tambahan dan lain-lain akan dibayar “atas niat baik” mengikut undang-undang dan peraturan negara ini. – 9 Jun 2023.

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen