INDEKS Harga Pengeluar Malaysia (IHPR), yang mengukur harga barangan di pintu kilang, mencatat peningkatan 0.2% pada September berbanding negatif 2.2% pada Ogos , kata Jabatan Perangkaan.
Ini merupakan kenaikan pertama selepas penurunan selama tujuh bulan berturut-turut sejak Februari berikutan kesan asas dan harga komoditi utama yang meningkat, katanya dalam kenyataan IHPR Pengeluaran Tempatan bagi September 2023 yang dikeluarkan hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia Mohd Uzir Mahidin berkata dari segi prestasi, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 3.2% daripada susut 1% pada Ogos 2023 manakala perlombongan menokok 6.9% daripada -3.8% pada bulan sebelumnya.
“Kedua-dua sektor utiliti mencatatkan peningkatan, dengan sektor bekalan elektrik dan gas meningkat 0.5% pada September 2023 daripada -0.1% dalam bulan sebelumnya manakala bekalan air meningkat sebanyak 0.9% daripada 2.5% pada Ogos 2023,” katanya.
Mohd Uzir berkata sektor pembuatan kekal dalam wilayah negatif bagi tempoh lima bulan berturut-turut dengan menguncup 0.8% daripada -2.3% pada Ogos lepas.
Dari segi perbandingan dengan negara lain, IHPR Amerika Syarikat naik 2.2% berbanding 2.0% pada Ogos 2023 iaitu yang tertinggi sejak April 2023 manakala indeks itu di Jepun juga meningkat 2.0%, lebih perlahan daripada peningkatan 3.3% pada bulan sebelumnya.
Pada masa sama, katanya, harga pengeluar China terus turun 2.5% berbanding penurunan 3.0% pada bulan sebelumnya.
Inflasi pengeluar India juga mencatat penguncupan lebih kecil pada 0.3% daripada -0.5% pada Ogos 2023.
“Bagi asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 0.9% pada September 2023 selepas tiada perubahan dicatatkan pada Ogos 2023, didorong terutamanya oleh sektor perlombongan yang meningkat sebanyak 5.6% daripada 3.9% pada bulan sebelumnya,” katanya.
Sektor pembuatan mencatatkan peningkatan kecil 0.8% daripada -0.2% pada Ogos 2023 manakala sektor bekalan elektrik dan gas ymenokok pada 0.4% daripada -0.1% sebelum ini.
Mohd Uzir berkata bagi suku ketiga 2023, IHPR Pengeluaran Tempatan kekal dalam wilayah negatif 1.4% yang disumbangkan oleh sektor perlombongan (-2.8%) dan pembuatan (-1.7%).
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023, IHPR Malaysia turun sebanyak 2.1% berbanding tahun lepas yang disebabkan oleh ketidaktentuan komoditi utama Malaysia, khususnya produk minyak sawit dan minyak mentah. – Bernama, 26 Oktober, 2023.
Komen