Maybank jamin sistem, data pelanggan tetap selamat


Maybank memberi jaminan akan memastikan sistem mereka tetap selamat susulan wujud dakwaan pangkalan data bank itu diterbitkan di forum web gelap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2024.

MAYBANK memberi jaminan akan memastikan sistem mereka tetap selamat susulan wujud dakwaan pangkalan data bank itu diterbitkan di forum web gelap.

“Menghormati dakwaan berkenaan, Maybank ingin menegaskan kepada pelanggan kami bahawa sistem kami kekal selamat, dan maklumat semua pelanggan Maybank dijamin sepenuhnya dilindungi,”

“Bagaimanapun kami memandang serius kebimbangan mengenai keselamatan dan akan terus memantau serta memastikan data-datanya dilindungi pada setiap masa,” menurut kenyataan yang dimuat naik Maybank di Facebook dan X.

Bank tersebut berkata dengan pelbagai langkah pencegahan penipuan yang dilaksanakan termasuk penggunaan Secure2U untuk mengesahkan transaksi dan tempoh bertenang yang dibenarkan untuk transaksi berisiko tinggi, transaksi atas talian pelanggan kami terus dilindungi.

“Pelanggan juga diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan melindungi maklumat mereka. Sila pastikan ID pengguna, kata laluan dan butiran peribadi tidak didedahkan, berhati-hati terhadap perisian hasad, mesej WhatsApp dan laman web phishing serta panggilan telefon yang tidak dikenali,” menurut kenyataan tersebut.

Pada 23 Julai, sebuah laman web pemantauan web gelap melaporkan seorang pengguna menawarkan pangkalan data Maybank2u yang didakwa mengandungi butiran seperti nama, kata laluan dan nombor MyKad untuk dijual di forum web gelap yang popular dengan harga AS$18,000 (RM84,159).

Bagaimanapun nampaknya hantaran itu kini tidak dapat ditemui di forum tersebut.

Selepas pangkalan data yang didakwa tersebut diberitakan oleh laman web pemantauan web gelap pada X, pengguna di platform tersebut mengutarakan kebimbangan dan mendesak Maybank untuk mengeluarkan kenyataan. – 24 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen