Ahli Parlimen gesa pinda akta bendung data bocor


Fahmi menggesa kerajaan meminda akta bagi mengelakkan kebcoran data peribadi rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2022.

PARLIMEN perlu meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) untuk menghentikan kebocoran data kata Fahmi Fadzil.

Daripada banyak kes kebocoran yang berlaku di negara ini hanya satu kes yang didakwa di mahkamah kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Kes itu melibatkan 30 juta data peribadi di Malindo Air,” katanya.

“Kes kebocoran data berprofil tinggi lain yang melibatkan lebih 70 juta pengguna masih belum dibawa ke mahkamah.”

Menurut Fahmi Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga masih belum mendedahkan tindakan bagi kes yang melibatkan kementerian dan agensi kerajaan.

Pemimpin PKR itu berkata sepanjang lima tahun lepas dianggarkan sekitar 100 juta set data melibatkan alamat, nombor telefon peribadi, MyKad dicuri daripada pelbagai agensi kerajaan.

“Saya gesa kerajaan menjelaskan kebocoran data terkini yang berlaku pada Mei dan jelaskan langkah yang telah diambil bagi memastikan perkara itu tidak berulang lagi,” kata Fahmi. 

Bulan lalu, dilaporkan terdapat penjualan data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia serta swafoto pengesahan kad pengenalan dimiliki 800,000 idividu milik JPN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara dalam talian.

Namun, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menafikannya.

“Kami (Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai mekanisma untuk mengesahkan data yang dijual itu bukan daripada JPN. 

“Seperti kes-kes sebelum ini penjualan data melibatkan agensi yang diberi ruang untuk terima maklumat daripada JPN,” katanya.

Hamzah berkata satu siasatan sedang dilakukan pihaknya dan mendapati data yang dijual itu adalah koleksi penjual daripada sumber-sumber lain.

“Semua individu yang terlibat dengan kegiatan penjualan data peribadi ini akan dipanggil bagi membantu siasatan dan hasil siasatan penuh akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya.

Hingga kini tiada siapa daripada kerajaan mengaku bertanggungjawab atas kebocoran data itu. – 6 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen