Polis hampir selesai siasatan gangguan seksual terhadap wartawan


Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata kertas siasatan gangguan seksual terhadap seorang wartawan sedang dimuktamadkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2024.

SIASATAN dakwaan gangguan seksual terhadap seorang wartawan wanita semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap berada di peringkat akhir, kata Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad.

Beliau berkata kertas siasatan sedang dimuktamadkan sebelum dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Sehingga kini kami merekodkan kenyataan daripada tiga individu untuk membantu dalam siasatan. Tempoh reman suspek yang berusia 30-an berakhir hari ini dan kami sedang menunggu untuk melihat jika tempoh remannya akan dilanjutkan.

“Satu perbarisan pengenalan dengan mangsa dan saksi juga dijalankan hari ini. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya pada sidang akhbar di Nibong Tebal hari ini, lapor Bernama.

Hamzah berkata polis juga merampas beberapa barang peribadi milik suspek termasuk pakaian yang dipakainya semasa kejadian untuk siasatan lanjut.

Beliau menegaskan siasatan akan dijalankan secara teliti dan telus serta polis juga sedang menyiasat peranan suspek di lokasi kejadian.

Difahamkan dakwaan gangguan seksual berlaku di Dewan Khairat Sungai Kecil pada malam Rabu ketika wartawan tersebut sedang membuat liputan mengenai satu acara yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno.

Gangguan seksual yang didakwa oleh lelaki yang mendakwa dirinya sebagai pekerja parti tersebut dilaporkan disaksikan oleh beberapa pengamal media lain.

Sementara itu pemantau media Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), berkata insiden tersebut membuktikan betapa tidak amannya persekitaran bagi pengamal media wanita yang berdepan sasaran yang tidak wajar kerana jantina mereka.

Pengarah eksekutif CIJ Wathshlah G. Naidu berkata semua pengamal media terutamanya pengamal wanita mesti dilayan dengan hormat dan dilindungi daripada sebarang ancaman yang boleh membahayakan diri mereka dan orang di sekeliling mereka.

“Kami menyeru agar tindakan tegas diambil terhadap pelaku insiden ini. Oleh itu kami mendesak agar siasatan polis ini dilakukan dengan segera dan menyeluruh.

“Kita tidak boleh membenarkan tindakan seperti ini terutamanya terhadap seseorang yang menjalankan tugas profesional mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah penganjur acara termasuk ahli politik dan parti politik dalam kes ini juga harus memastikan langkah-langkah berkesan diambil untuk mencegah sebarang bentuk gangguan seksual di acara mereka. – 5 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen