DUA wartawan wanita Iran yang ditahan kerana melaporkan kematian Masha Amini, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, kata badan kehakiman hari ini.
Kes kematian berkenaan mencetuskan protes di seluruh negara tahun lalu.
Kematian Amini dalam tahanan pada 16 September tahun lalu di Tehran kerana dakwaan melanggar peraturan ketat pakaian Iran untuk wanita membawa kepada bantahan besar-besaran di seluruh negara.
Laman web badan kehakiman Mizan Online melaporkan, wartawan berkenaan - Elaheh Mohammadi dan Niloufar Hamedi - kedua-duanya didapati bersalah kerana bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS), berkomplot menentang keselamatan negara dan propaganda terhadap republik Islam itu.
Mohammadi, 36, dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana bekerjasama dengan AS dan Hamedi, 31, dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan yang sama, menurut Mizan.
Kedua-dua mereka juga dijatuhkan hukuman penjara lima tahun masing-masing bagi tuduhan konspirasi dan propaganda, kata laman web itu, sambil menambah hukuman itu akan dijalankan secara serentak.
Mohammadi, wartawan akhbar Ham Mihan dan Hamedi, jurugambar akhbar Shargh ditahan di penjara Evin Tehran sejak September 2022, dengan perbicaraan mereka bermula pada Mei.
Keputusan terhadap mereka tertakluk kepada rayuan, menurut Mizan.
Keputusan itu susulan hukuman penjara satu tahun ke atas peguam Amini, Saleh Nikbakht pada Selasa kerana propaganda terhadap negeri itu dan bercakap dengan media asing dan tempatan mengenai kes itu. – AFP, 22 Oktober, 2023.
Komen