SKMM tidak faham tugas, peranan media, kata kumpulan wartawan


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak memahami tugas dan peranan media sebaliknya hanya berselindung di sebalik akta penubuhannya untuk mewajarkan ia wujud, kata sekumpulan wartawan dan badan wartawan.

Mereka merujuk ugutan SKMM mahu mengambil tindakan ke atas MalaysiaNow sekiranya tidak menarik balik laporannya mengenai kekecohan di Dewan Rakyat, minggu lalu.

“Kami berpendapat reaksi SKMM hanya memperlihatkan kedangkalan badan pengawas itu dalam memahami tugas dan peranan media.

“Kenyataan itu juga membuktikan SKMM berselindung di sebalik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk mewajarkan kewujudannya,” kata kumpulan 19 wartawan dan dua badan wartawan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Kumpulan 19 wartawan itu termasuk enam tokoh wartawan dan wartawan kanan yang tiga minggu lalu membidas SKMM kerana kecenderungan sejak akhir-akhir mengawal pemberitaan oleh media terutama yang dianggap tidak sehaluan dengan kerajaan.

Dua kumpulan wartawan itu ialah The Centre for Independent Journalism, Malaysia (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).

Kenyataan penuh dan senarai wartawan yang mendukungnya di sini.

Pada 20 September, SKMM memberi tempoh dua jam kepada MalaysiaNow untuk menurunkan laporan beritanya yang didakwa ‘tidak mencerminkan konteks sebenar ucapan yang disebutkan’ di Dewan Rakyat.

Laporan itu berkaitan kekecohan di Dewan Rakyat selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun melemparkan tuduhan terhadap wakil rakyat Perikatan Nasional Radzi Jidin.

Dalam reaksinya, Radzi membangkitkan sabitan kes liwat Anwar selepas tidak berpuas hati dengan kenyataan speaker mempertahankan kenyataan perdana menteri sekiranya kenyataan itu dibuat atas keyakinan.

MalaysiaNow mempertahankan laporannya dan tidak tunduk kepada tuntutan SKMM.

Dalam kenyataan hari ini, 19 wartawan bersama ICJ dan Geramm berpendapat apa yang berlaku di Dewan Rakyat itu disiar secara langsung dan potongannya boleh diakses di media sosial.

Mereka menyifatkan tuntutan SKMM tidak adil malah menimbulkan lebih banyak tanda tanya.

“Bilakah masanya membuat laporan peristiwa yang berlaku menjadi satu kesalahan di negara ini?” tanya mereka.

Mereka juga berpendapat SKMM tidak patut memberi kuliah kepada media mengenai ‘pelaporan yang tepat’.

“Kami berpendapat SKMM sengaja mencari musuh yang salah bagi mewajarkan tindakannya.

“Pengamal media rata-rata memahami tanggungjawab mereka serta dipandu oleh profesionalisme dan etika kewartawanan,” kata mereka.

Mereka juga mengingatkan SKMM akan keterbukaan Anwar terhadap kritikan dan teguran serta komitmennya yang perdana janjikan untuk media bebas dan bertangggungjawab. – 24 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen