Rampasan diesel turun selepas rasionalisasi subsidi, kata Armizan


Berkuat kuasa 10 Jun lalu, kerajaan menetapkan harga runcit diesel pada RM3.35 seliter di semua stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2024.

LANGKAH penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan pada 10 Jun telah menyaksikan penurunan rampasan diesel sebanyak 87%, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata dalam satu kenyataan aliran menurun ini adalah berdasarkan perbandingan dalam tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaan subsidi diesel yang disasarkan.

Armizan berkata bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun, terdapat 65 kes rampasan diesel direkodkan dan ini melibatkan rampasan sebanyak 520,803 liter bahan api, manakala bagi tempoh 10 hingga 30 Jun, iaitu 20 hari selepas subsidi diesel disasarkan. dilaksanakan, statistik menunjukkan hanya terdapat 14 kes, melibatkan 68,457 liter.

“Jumlah individu yang ditahan dalam kes diesel bersubsidi juga menurun dalam tempoh yang sama, daripada 40 orang kepada hanya seorang,” katanya.

“Perbandingan ini menunjukkan penurunan ketara dalam bilangan kes.”

Berkuat kuasa 10 Jun lalu, kerajaan menetapkan harga runcit diesel pada RM3.35 seliter di semua stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit bahan api itu untuk Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Bagaimanapun, Armizan berkata terdapat peningkatan dalam rampasan petrol RON95 iaitu sebanyak 37 kes membabitkan 17,064 liter bahan api ini sepanjang tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lalu berbanding 46 kes melibatkan rampasan 14,011 liter bahan api ini, selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata, jumlah tangkapan meningkat daripada 10 kepada 17 orang bagi tempoh sama.

Bagi membanteras kegiatan tersebut, beliau juga berkata pihaknya akan terus menambah baik aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan terhadap penyelewengan barangan kawalan melalui pelaksanaan operasi Ops Tiris 3.0 di seluruh negara.

“Kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain turut diadakan untuk menangani ketirisan secara menyeluruh dan berkesan,” tambahnya. – 4 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen