Hadkan belian diesel subsidi tidak berlaku di Sabah, kata menteri


Armizan Mohd Ali berkata selain subsidi bersasar, kementeriannya akan melaksanakan penguatkuasaan lebih tegas dan menyeluruh tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2023.

SITUASI mengehadkan pembelian diesel bersubsidi bagi mengelak kehabisan bekalan baru-baru ini tidak berlaku di seluruh Sabah, sebaliknya hanya membabitkan stesen minyak di daerah dan syarikat minyak tertentu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, permintaan tinggi terutama semasa musim perayaan dan cuti sekolah antara faktor stesen minyak terpaksa berbuat demikian bagi memastikan semua rakyat memperoleh bekalan diesel.

Beliau berkata, kementerian melakukan semakan terhadap syarikat minyak berkaitan semalam dan dimaklumkan syarikat itu tidak memerlukan penambahan kuota diesel bersubsidi pada masa ini bagi memenuhi permintaan kerana bekalan sedang dihantar ke stesen minyak itu.

“Ada syarikat minyak yang menunggu kelulusan (terima bekalan diesel bersubsidi dalam kuota) mereka terpaksa hadkan pembelian supaya tidak terputus bekalan. Selain itu, keperluan (diesel) setahun itu untuk 2022 dan tahun ini di Sabah dan Sarawak semakin meningkat.

“Tetapi kita tidak nafikan ada penyelewengan dan penyeludupan. Pihak tidak bertanggungjawab pergi ke stesen minyak berkali-kali atau lokasi berlainan beli diesel ini melebihi kuota untuk mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Fun Hike Keluarga Samat di Bukit Bendera, Papar hari ini.

Armizan berkata selain subsidi bersasar, kementeriannya akan melaksanakan penguatkuasaan lebih tegas dan menyeluruh tahun depan.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah antaranya Adun Elopura, Calvin Chong dan Adun Tanjung Aru, Junz Wong kedua-duanya daripada Parti Warisan mendakwa tindakan stesen minyak mengehadkan jualan diesel bersubsidi menimbulkan masalah kepada rakyat. – Bernama, 31 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen