Azizi benarkan Pakatan, BN bertanding di PRK Nenggiri


Bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim memberi laluan kepada mereka daripada Pakatan Harapan dan perikatan BN untuk bertanding di kerusi itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2024.

BEKAS Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim berkata beliau tidak akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil akan datang yang dijadualkan pada Ogos.

Azizi berkata beliau sebaliknya akan memberi laluan kepada mereka daripada Pakatan Harapan dan perikatan BN.

“Ini bukan mengenai kerusi yang dipertandingkan, tetapi tentang menghormati semangat setiakawan dalam kalangan parti komponen,” katanya kepada pemberita di Gua Musang semalam, lapor Bernama.

Katanya, beliau telah menghantar surat kepada Bersatu pada Sabtu, menggesa parti itu memberikan butiran jelas berhubung pemberhentian keahliannya.

Pada 19 Jun, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan bahawa kerusi Nenggiri kosong selepas notis bertulis diterima di bawah Fasal (3) Perkara 31A undang-undang tubuh negeri Kelantan berhubung status keahlian Azizi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala hari pengundian pada 17 Ogos. – 1 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen