PEMUDA Umno ketandusan tokoh yang berpotensi diasuh menjadi pemimpin besar negara pada waktu ini, kata seorang bekas pemimpin pergerakan muda itu.
Pergerakan itu juga sepatutnya menjadi pemangkin perubahan supaya Umno kembali menjadi parti dominan dalam kerajaan, tetapi perkara itu tidak berlaku, kata Armand Azha Abu Hanifah.
Bekas anggota exco Pemuda Umno itu kesal kerana melihat barisan pemimpin pergerakan itu membiarkan ketua mereka terkial-kial sendirian mengemudi parti dan menghadapi isu yang timbul.
“Barisan exco sepatutnya sentiasa bersama-sama ketua Pemuda Umno. Mereka tidak patut biarkan ketua keseorangan,” kata senator itu kepada The Malaysian Insight.
Senator itu memberi contoh perkembangan yang berlaku ketika Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh diserang apabila parti itu menyatakan pendirian dalam beberapa isu kontroversi.
“Contohnya dalam isu KK Mart, ketua Pemuda Umno keseorangan dalam berhadapan isu itu. Sepatutnya barisan exco terus bersuara menyokong dan mendukung kenyataan ketua Pemuda.”
Akmal ditahan polis dan disiasat ekoran kenyataannya pada waktu itu yang menyeru boikot diteruskan ke atas rangkaian kedai serbaneka KK Mart.
Boikot tersebut dilancarkan ke atas rangkaian kedai tersebut sebagai reaksi kepada isu jualan satu produk sarung kaki yang didakwa tertera kalimah Allah.
Jualan stoking kontroversi itu meraih kemarahan orang ramai dan dipanaskan lagi dengan kempen boikot yang digerakkan Akmal.
Boikot tersebut bagaimanapun tidak merebak menjadi lebih besar selepas Umno mengarahkan Akmal supaya menghentikan kempen ke atas jaringan kedai berkenaan.
Mengulas perkembangan tersebut, Armand berkata keadaan seperti itu tidak akan dibiarkan berlaku sewaktu pergerakan tersebut dipimpin tokoh seperti Khairy Jamaluddin dan Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya para exco dan para pemimpin Pemuda Umno akan sentiasa menyahut setiap seruan dan menyokong kenyataan ketua mereka.
Sebab itulah Pemuda Umno berjaya menjadi pemangkin untuk mengubah dasar dan keputusan kerajaan pada waktu itu, katanya yang memberi contoh pelaksanaan gaji minimum.
“Tapi sekarang ini tidak. Saya pula yang terpaksa keluarkan kenyataan untuk pertahan apabila Akmal diserang,” katanya yang kesal dengan sikap membisu pada pemimpin Pemuda Umno.
Tambahnya, beliau juga melihat Pemuda Umno lesu dan tidak menarik di mata orang muda kerana pergerakan tersebut tidak menjalankan program bagi menarik golongan sasaran berkenaan.
“Pada masa Pemuda Umno dipimpin Asyraf Wajdi, kita ada juga lihat aktiviti Skuad Sabil,” kata Armand lagi.
Oleh sebab itulah beliau tidak menjangka Pemuda Umno dapat mengeluarkan tokoh yang mampu menjadi pemimpin besar seperti yang diasuh pergerakan tersebut sebelum ini.
Selain Khairy dan Asyraf, pemimpin dalam barisan Pemuda dapat menguasai jawatan utama seperti bekas timbalan menteri Sharkar Shamsuddin dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, katanya.
Katanya, Pemuda Umno dalam kader tersebut giat mengkritik dan menekan kerajaan ketika parti itu menjadi parti tunjang Barisan Nasional sewaktu gabungan itu menguasai Putrajaya, katanya.
Malah, realiti politik semasa yang menyaksikan Umno terpaksa berkongsi kuasa sepatutnya menjadi pendorong supaya Pemuda Umno lebih lantang bersuara, tambahnya.
“Jadi Pemuda Umno perlu lebih lantang menyokong kerajaan supaya Umno dapat kembali menjadi parti dominan dalam kerajaan,” katanya lagi.
Pemuda Umno dipimpin Akmal yang memenangi jawatan itu dalam pemilihan parti pada Mac tahun lalu.
Selain isu KK Mart, Akmal juga lantang menyuarakan pendirian pergerakan itu dalam isu tawaran program latihan pascasiswazah bidang kardiotoraks di Universiti Teknologi Mara.
Pergerakan itu menegaskan bantahan ke atas sebarang usaha membuka penempatan bagi pelatih bukan bumiputera di universiti tersebut. – 21 Jun, 2024.
Komen