WAKIL sekolah vernakular di Pulau Pinang menggesa Kementerian Pendidikan menghapuskan arahan ketat yang didakwa memberi kesan kepada pelaksanaan Program Dwi Bahasa (DLP).
Mereka berkata, arahan baharu itu mewajibkan sekurang-kurangnya satu kelas mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia (BM) bagi sekolah yang ingin melaksanakan DLP.
Program DLP bertujuan untuk membenarkan sekolah melaksanakan pengajaran kedua-dua mata pelajaran ini dalam bahasa Inggeris.
Wakil daripada 11 SMJK dan sekolah menengah Cina di Pulau Pinang berkata arahan terbaharu itu tidak boleh dilaksanakan kerana tiada pelajar yang berminat untuk mengambil dua mata pelajaran itu dalam BM.
Salah seorang wakil, setiausaha lembaga pengarah SMJK Chung Ling, Foo Wan P’ng, berkata kesemua 400 pelajar Tingkatan Satu di sekolah berkenaan ingin mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
“Sesetengah ibu bapa bimbang pelaksanaan keperluan baharu ini kepada anak-anak mereka akan menjejaskan prestasi akademik mereka,” katanya, memetik laporan The Star hari ini.
Seorang lagi wakil, Pengerusi PIBG SMJK Jit Sin Laeu Boon Hui pula dilaporkan berkata hampir 100% ibu bapa tidak berminat untuk anak mereka diajar dua mata pelajaran tersebut dalam BM. Sekolah ini mempunyai kira-kira 1,100 pelajar.
“Berdasarkan tinjauan kami, 99.5% ibu bapa tidak menyokong dua mata pelajaran yang diajar dalam BM,” beliau dipetik sebagai berkata.
Arahan terbaharu itu datang daripada Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dalam surat bertarikh 15 April, menyatakan sekolah DLP mesti memasukkan kelas wajib bukan DLP sebagai sebahagian daripada kriteria untuk menjalankan program itu.
Pekeliling Kementerian Pendidikan itu dihantar ke 36 sekolah rendah dan 52 sekolah menengah di Pulau Pinang.
Arahan kementerian itu dibuat selepas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Disember tahun lepas berkata murid di sekolah DLP tidak mempunyai tahap penguasaan asas dalam BM.
Beliau berkata, sekolah yang menjalankan program DLP telah bersetuju untuk memastikan semua kriteria dipenuhi termasuk penguasaan BM, yang menyebabkan mereka diberitahu untuk memasukkan kelas wajib bukan DLP mulai tahun akademik ini.
DLP diumumkan dalam Bajet 2016 untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa itu, serta meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat global.– 6 Jun, 2024.
Komen