Permohonan tahanan rumah Najib dijadual semula ke 3 Julai


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 3 Julai untuk memutuskan sama ada memberi kebenaran kepada Najib Razak meneruskan semakan kehakimannya berhubung dakwaan titah adendum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2024.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 3 Julai untuk memutuskan sama ada memberi kebenaran kepada Najib Razak meneruskan semakan kehakimannya berhubung dakwaan titah adendum yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh Serjit Singh menjadualkan semula keputusan itu selepas mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan permohonan Najib untuk kebenaran mendapatkan semakan kehakiman.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi dan Shamsul Bolhassan hadir bagi pihak Kerajaan Persekutuan dan Lembaga Pengampunan, manakala Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.

Mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri untuk mengemukakan dua afidavit tambahan bagi menyokong permohonannya memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan perintah tambahan diraja itu.

Dua afidavit itu adalah daripada Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail yang mengiktiraf kewujudan titah diraja itu dan satu lagi daripada Najib yang memetik ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan tidak akan mempersoalkan kuasa bekas menteri itu. Yang di-Pertuan Agong merupakan pengerusi Lembaga Pengampunan.

Hanir berkata mahkamah selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak dalam mahkamah membenarkan permohonan Najib walaupun mendapat bantahan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung pemfailan afidavit di saat akhir.

Shafee kemudian mengesahkan mahkamah menerima afidavit tersebut.

Afidavit Wan Rosdy difailkan pada 21 Mei manakala afidavit Najib difailkan pada 23 Mei, hampir sebulan selepas penghujahan didengar.

Wan Rosdy dalam afidavitnya berkata beliau dimaklumkan mengenai perintah tambahan diraja oleh Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 30 Januari. Wan Rosdy yang juga naib presiden Umno berkata beliau tidak mempunyai salinan dalam milikan memandangkan ia dokumen rahsia yang belum dilaksanakan.

Najib memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada 1 April.

Beliau menamakan menteri dalam negeri, pesuruhjaya agung penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, menteri undang-undang dan reformasi institusi di Jabatan Perdana Menteri, ketua pengarah bahagian hal ehwal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden.

Dalam permohonan itu Najib mendakwa beliau menerima pengesahan pada 12 Februari mengenai pengeluaran perintah tambahan membolehkannya menjalani hukuman penjara yang diringankan di bawah tahanan rumah dan bukannya di Penjara Kajang. – 5 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen