Pertarungan kalah mati buat Wan Rosdy


Mohd Azizi Jaeh

Mungkinkah Wan Rosdy Wan Ismail akan membawa Umno keluar daripada krisis sekiranya kejayaan Pelangai dapat dilakar? – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2023.

KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pelangai bakal menghampiri penyudah. Berbaki beberapa jam, sekitar 16 ribu pengundi akan membuat pilihan terakhir di peti undi.

PRK kali ini merupakan pertarungan kalah mati buat Umno dalam usahanya mengembalikan keyakinan orang Melayu terutamanya di jajaran Felda. DUN Pelangai mengandungi tiga buah tanah rancangan iaitu Felda Chemomoi, Kemasul dan Sungai Kemahal yang selama ini dikira sebagai deposit tetap Barisan Nasional (BN).

Begitu pun Umno sekarang terpaksa berhadapan dengan ancaman agresif daripada pencabarnya iaitu PAS dan Perikatan Nasional (PN). Asakan dan gelombang hijau yang melanda beberapa kawasan jantung Melayu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pastinya mencemaskan kem Wan Rosdy Wan Ismail selaku menteri besar Pahang.

Pahang satu-satunya negeri yang masih kekal diperintah Umno/BN sejak merdeka. Pendek kata, Pahang merupakan negeri di semenanjung yang tidak pernah bertukar kerajaan negeri. Barangkali faktor Felda yang besar di Pahang menyelamatkan kedudukan negeri tersebut jatuh ke tangan parti pembangkang.

Sebagai pengarah jentera PRK, pastinya Wan Rosdy akan bermati-matian untuk mempertahankan legasi menteri besar terdahulu (Adnan Yaakob) agar tidak terlepas ke tangan parti lawan. Untuk itu, beliau harus menunjukkan kemampuan dirinya sebagai kapten Pahang dalam menjaga benteng terakhir Umno di negeri itu.

Tidak syak lagi, menteri besar Pahang ke-14 ini akan bertindak sebagai “Wan Rosdy and the last man.”

Wan Rosdy harus beringat kegagalannya untuk menghadiahkan kemenangan buat BN bererti pemulihan Umno bertambah sukar selepas ini. Kemenangan Umno di Pelangai sangat penting dalam menaikkan semula reputasi Umno, selepas Umno menghadapi kemarau kejayaan. Peluang keemasan buat Wan Rosdy yang tidak patut dilepaskan.

Peranan Wan Rosdy juga signifikan selaku front man untuk meredakan tekanan dan menahan gelombang hijau daripada terus merebak luas ke Pahang, selepas dua negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan telah menjadi pangkalan kuat PAS.

Keberhasilan PAS dan PN menawan tujuh kerusi Parlimen dan 17 kerusi DUN ketika PRU15 menandakan pengaruh mereka semakin melebar di negeri Tok Gajah. Tembusan besar yang memberi kekuatan moral kepada PN dapat dijadikan perang saraf yang berterusan bahawa Umno semakin ditolak oleh orang Melayu.

Lebih-lebih lagi sekiranya PN dapat merampas kerusi Pelangai, ia boleh dijadikan pemangkin untuk mereka merencanakan jalan ke arah rampasan kuasa kerajaan negeri. Perlu diingatkan Akta Anti Lompat Parti masih tidak dikuatkuasakan di peringkat negeri Pahang. Politik adalah seni segala kemungkinan.

Perang Saraf dilancarkan oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ketika kempen di Pelangai, bahawa empat orang Adun di Pahang bersedia untuk menyertai PN bagi membentuk kerajaan negeri baru sekiranya kerusi tersebut berjaya ditawan.

Namun Wan Rosdy pantas menafikan dan menegaskan kesemua Adun di Pahang setia menyokongnya. Sementara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut mendakwa Adun PN yang akan menukar haluan menyokong BN/PH. Apa pun peperangan saraf kedua belah pihak untuk saling menyekat dan membendung pengaruh lawan masing-masing.

Sekiranya naib presiden Umno yang merupakan orang ketiga terkanan dalam hierarki parti (selepas Zahid dan Tok Mat) tidak mengambil berat segala kemungkinan yang boleh berlaku, ia dikhuatiri menjerumuskan tindakan tersalah langkah yang boleh menghentikan kemaraan Umno.

Apa pun yang diperkatakan, suasana politik Pahang menampakkan permukaannya yang sentiasa stabil sekali gus memberi sedikit kelebihan untuk kepimpinan Wan Rosdy memenangi kerusi ini. Namun belum tentu permukaan yang kelihatan tenang turut menggambarkan dasarnya tidak ada gelora!

Atas kestabilan dan tiadanya krisis politik besar yang berlaku di Pahang, ia mungkin menampakkan yang Wan Rosdy memimpin Umno negeri dalam suasana satu kem atau satu pasukan yang pejal – tiada fraksi. Bahkan calon menteri besar sebelum ini iaitu Sharkar Shamsuddin kini merupakan pendukung kuat Wan Rosdy.

Menyaksikan menteri besar Pahang menyampaikan ceramah, sebenarnya ia menonjolkan karakter dirinya yang cenderung mencetuskan kontroversi. Penulis menganggap menteri besar Pahang ini tidak bersikap konfrontasi dengan pihak lawan. Tidak hairanlah mantan menteri besar Pahang menyatakan penggantinya ini ialah “orang yang penyabar”.

Dari sinilah bermulanya pendakian Wan Rosdy dalam parti Umno. Berbekalkan pengalaman beliau dalam selok elok pentadbiran di peringkat negeri, peluang BN untuk menawan Pelangai kelihatan cerah biarpun mendapat tentangan hebat daripada PAS.

Mungkinkah Wan Rosdy akan membawa Umno keluar daripada krisis sekiranya kejayaan Pelangai dapat dilakar. Malam 7hb adalah penentunya. – 7 Oktober, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen