PASUKAN polis harus memastikan mereka menghormati keadilan dan melindungi hak orang kurang upaya (OKU), kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) Zaid Ibrahim.
Beliau berkata isu pemandu Grab OKU diserang kini bertukar kepada bukan sahaja serangan jenayah tetapi juga salah laku polis yang serius.
“Mengapa polis berpihak? Adakah mereka tidak sepatutnya bertindak atas semua laporan tanpa rasa takut kepada sesiapa?” katanya menerusi X yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Zaid merujuk kepada insiden pemandu e-hailing OKU yang diserang oleh anggota keselamatan pada Isnin lalu.
Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata siasatan berhubung dakwaan serangan itu masih dijalankan walaupun laporan awal bahawa kes itu “selesai” selepas mangsa didakwa menerima RM800 daripada wakil penyerang.
Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengecam cubaan mengaitkan institusi diraja itu dengan dakwaan serangan seorang pemandu e-hailing.
“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.
“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” katanya di aplikasi X.
Pada Rabu polis mengesahkan kes membabitkan pengawal peribadi Tunku Ismail yang didakwa menyerang seorang lelaki OKU di sebuah hotel diselesaikan secara baik.
Bagaimanapun pemandu OKU itu berkata dia masih mahukan keadilan dan menolak sebarang pampasan, kata peguamnya.
Zaid juga berkata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail harus segera menyiasat aduan pemandu Grab yang mendakwa terpaksa menerima 800 untuk menarik balik aduannya.
Tambahnya mereka tidak mahu negara dikendalikan oleh pasukan polis yang menyalahgunakan kuasanya.
“Kami tidak mahu itu daripada mana-mana agensi penguatkuasaan. Terdapat banyak penderaan pada masa lalu,” katanya. – 1 Jun, 2024.
Komen