Komuniti OKU mahu pengangkutan awam percuma


Noel Achariam

OKU dan pelajar berumur sehingga 12 tahun akan menikmati perjalanan kereta api KTMB secara percuma mulai 15 Februari. – Gambar Facebook, 28 Januari, 2023.

PUTRAJAYA sepatutnya menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam percuma untuk masyarakat orang kurang upaya (OKU), kata ahli masyarakat itu.

Mereka berkata tindakan sedemikian akan membantu mereka mengatasi beban kewangan mereka, yang seterusnya akan membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik.

Mereka menambah kos sara hidup yang tinggi memberi kesan kepada gaya hidup mereka, malah ada kalanya menghalang mereka daripada bergerak ke sana-sini.

Presiden Independent Living and Training Centre (ILTC) Francis Siva berkata langkah itu akan membolehkan pengguna berkerusi roda mempunyai sedikit wang tambahan untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang lebih baik dan berinteraksi dengan masyarakat.

“Ketika ini ramai OKU menganggur, tidak dapat penjagaan kesihatan yang sewajarnya kerana dibebani dengan kos pengangkutan awam.

“Jika semua pengangkutan awam diberikan percuma kepada mereka, maka mereka akan dapat bergerak dengan bebas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Siva merujuk kepada pengumuman Putrajaya OKU dan pelajar berumur sehingga 12 tahun akan dapat menikmati perjalanan kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) secara percuma mulai 15 Februari.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tawaran perjalanan percuma itu adalah untuk perkhidmatan tren komuter sektor utara dan Lembah Klang serta perkhidmatan antara bandar bagi laluan Gemas-Tumpat.

Siva berkata, ramai OKU terperangkap di rumah kerana tiada pengangkutan.

“Sistem sokongan ini akan mengembangkan kualiti hidup kami dan memberi manfaat kepada komuniti kami kerana kebanyakan orang kurang upaya tidak mempunyai pekerjaan.”

Katanya, masyarakat mereka kini merayu agar semua pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan perkhidmatan bas disediakan secara percuma untuk OKU.

OKU mahu Putrajaya menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam percuma kepada mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2023.

“Sebagai contoh jika kita menggunakan tren KTM, ia percuma, tetapi jika kita perlu menukar ke mod pengangkutan awam lain, maka kita masih perlu membayar.

“Orang kurang upaya juga tidak berkemampuan kerana mereka tidak mampu membeli kereta atau motosikal.”

Siva menambah adalah penting untuk membabitkan diri dengan komuniti orang kurang upaya mengenai faedah ini untuk mengumpulkan maklum balas.

“Kerajaan harus mendengar masyarakat kurang upaya mengenai apa yang kami perlukan supaya mereka menyelesaikannya.”

Minggu lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri juga menggesa pengangkutan percuma untuk orang kurang upaya.

Beliau berkata orang kurang upaya kini berhak mendapat diskaun 50% untuk tambang pengangkutan awam, tetapi tidak ramai yang mendapat manfaat daripadanya.

Nancy berkata beliau bercakap dengan Loke mengenai kemungkinan menyediakan pengangkutan percuma kepada orang kurang upaya yang menggunakan perkhidmatan LRT, MRT dan bas henti-henti.

Mahal untuk keluar rumah

Jeyaraj Santraju yang berkerusi roda juga bersetuju perlu ada pengangkutan awam percuma bagi semua perkhidmatan.

Beliau berkata perjalanan masih mahal kerana terpaksa membelanjakan RM22 jika hendak melakukan perjalanan pergi balik dari Rawang ke Asiajaya di Petaling Jaya.

“Bagaimana dengan mereka yang tiada pendapatan? RM22 adalah wang yang banyak walaupun dengan diskaun.

“Sebab itu mereka duduk di rumah kerana tidak mahu berbelanja banyak. Jika ia percuma, maka anda boleh melihat ramai orang keluar.”

Jeyaraj juga berkata kakitangan yang mencukupi perlu bersiap sedia di semua stesen kereta api untuk membantu golongan kurang upaya apabila pengangkutan percuma bermula bulan depan.

Beliau berkata ia penting atas sebab keselamatan kerana terdapat jurang antara platform dan kereta api, jadi panduan diperlukan untuk membantu mereka menyeberang.

Menurut persatuan, ramai OKU terperangkap di rumah kerana tiada pengangkutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2023.

Jeyaraj berkata ketika KL Sentral dan Kepong Sentral mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk membantu golongan kurang upaya, stesen kecil lain di sepanjang laluan itu kadangkala tidak mempunyai kakitangan.

“Langkah kerajaan menyediakan perkhidmatan KTM percuma untuk OKU amat dialu-alukan. Bagaimanapun perlu ada kakitangan yang mencukupi untuk membimbing OKU.

“Di sesetengah platform, jurangnya lebih luas jadi adalah penting untuk orang kurang upaya menyeberang ke gerabak dengan selamat.

“Ini bukan sahaja untuk berkerusi roda, tetapi juga wanita buta dan hamil yang menaiki kereta api,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menaik taraf kemudahan

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas memuji inisiatif Loke dan Nancy terhadap OKU.

Beliau juga bersetuju pengangkutan percuma itu perlu diperluaskan kepada semua perkhidmatan.

“Pihak berkuasa boleh mulakan dengan melaksanakannya (perkhidmatan percuma) di Lembah Klang.

“Ia banyak membantu kerana ramai orang buta bekerja, mencari pekerjaan dan berulang-alik di sekitar pusat bandar.”

Thomas menambah semua langkah keselamatan juga perlu disediakan untuk memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku terhadap OKU. – 28 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen