SPRM bangun platform untuk OKU pendengaran salur maklumat rasuah


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membangunkan satu platform atau mekanisme yang sistematik seawal bulan hadapan bagi memudahkan komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran menyalurkan maklumat berkaitan isu rasuah kepada agensi itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Norazlan Mohd Razali berkata platform yang berbentuk digital akan dibangunkan pasukan dalaman SPRM dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

“Platform ini juga boleh dimanfaatkan untuk kami memberikan penerangan mengenai jenayah rasuah, untuk dijadikan panduan kepada komuniti OKU pendengaran dalam mengetahui dan memahami apakah jenis dan sifat kesalahan rasuah itu.

“Selain itu, platform ini juga turut membolehkan kami memberikan pemakluman dari semasa ke semasa mengenai inisiatif pencegahan rasuah yang dibuat oleh kerajaan dan SPRM, untuk disebarluaskan lagi kepada keluarga dan rakan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutup program antirasuah bersama komuniti orang pekak di Putrajaya hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan OKU Sentral Ras Adiba Radzi dan Presiden MFD Mohamad Sazali Shaari.

Mengulas lanjut, Norazlan berkata, platform itu langkah pertama SPRM dengan komuniti OKU yang dimulai dengan golongan OKU pendengaran dan ia akan dipanjangkan kepada komuniti OKU lain pada masa hadapan.

“Sebelum ini tidak ada platform rasmi atau berstruktur dan ini mungkin menyukarkan komuniti OKU pendengaran untuk mendapatkan pemakluman lanjut berkaitan isu rasuah.

“Dengan adanya jambatan perhubungan melalui kerangka ini kami mengharapkan lebih banyak interaksi antara kami dan golongan OKU pendengaran bukan hanya setakat aduan atau maklumat, tapi apa-apa isu berkaitan rasuah supaya golongan ini lebih jelas mengenai apa dimaksudkan dengan rasuah,” katanya.

Norazlan berkata, tahap kepekaan mengenai rasuah dalam kalangan komuniti OKU bertambah baik, namun ada beberapa perkara yang mereka mungkin tidak berapa jelas mengenai sifat dan kesalahan rasuah.

“Apa maksud rasuah, adakah menerima barangan itu rasuah, adakah salah guna kuasa itu satu daripada rasuah.

“Ini kami cuba terapkan melalui pendekatan kami supaya semua akan lebih jelas dan akhirnya apabila sesuatu sifat rasuah itu berlaku, maka golongan OKU ini boleh dengan cepat melaporkan kepada kami, supaya kami dapat ambil tindakan dengan segera supaya dapat mengurangkan atau menghalang ketirisan daripada berlaku, terutama membabitkan dana diberi kerajaan atau organisasi untuk kegunaan komuniti pekak atau OKU lain,” katanya.

Mengenai kerahsiaan maklumat atau aduan mengenai rasuah yang akan disalurkan menerusi platform itu, Norazlan berkata, pihaknya memberi jaminan maklumat itu dirahsiakan berdasarkan ruang litup undang-undang.

“Kita akan masukkan elemen kerahsiaan dalam (platform) itu, yang dalam lingkungan litup undang-undang supaya kerahsiaan terjamin dan pemberi maklumat kerahsiaan identitinya juga terjamin,” katanya. – Bernama, 24 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen