Kenaikan gaji penjawat awam faktor Pakatan menang di KKB, kata pengundi


K. Kabilan

Calon PH/DAP Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan calon Perikatan/Bersatu Khairul Azhari Saut pada PRK Kuala Kubu Bharu Sabtu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei 2024.

ANGGOTA perkhidmatan keselamatan veteran, Jusoh mengundi calon Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum 2022 dan pilihan raya negeri Selangor yang diadakan Ogos lalu.

Bagaimanapun pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) Sabtu lalu, undinya berubah untuk calon Pakatan Harapan (PH).

Dia bukan satu-satunya daripada perkhidmatan polis dan tentera yang bertukar sokongan. Mengikut statistik awal, terdapat lonjakan ketara dalam sokongan daripada kakitangan beruniform ini kepada calon PH.

Ahli sains politik Wong Chin Huat berkata tinjauan PRK KKB menunjukkan trend baharu yang berbeza dengan pilihan raya negeri 2023.

Dalam catatan di Facebook beliau berkata sokongan polis terhadap PH melonjak daripada kira-kira 26% kepada 84% manakala bilangan tentera juga meningkat daripada 16% kepada 54%.

Menurut Malaysiakini pada 2023 pengundi terdiri daripada anggota polis membuang 388 undi untuk PN dan hanya 119 untuk PH. Bagi PRK Sabtu lepas, anggota polis memberikan 249 undi untuk PH manakala 47 undi untuk PN.

Bagi undi anggota tentera, PH mendapat 84 undi kali ini berbanding 27 undi pada 2023 manakala sokongan PH menurun daripada 142 kepada 71 undi.

Untuk konteks terdapat 625 undi polis dan 238 undi tentera tersedia dalam PRK itu.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan untuk PH mungkin daripada kakitangan menyokong Barisan Nasional yang tidak menyertai PRK ini demi PH.

Bagi Jusoh, keputusannya untuk mengundi PH kali ini jelas - keputusan kerajaan persekutuan untuk menaikkan gaji kakitangan awam.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, pengumuman perdana menteri mengenai kenaikan gaji adalah berita baik untuk saya. Saya rasa saya patut menunjukkan sokongan saya kepada mereka dengan melakukan perkara ini,” kata Jusoh yang tidak mahu mendedahkan nama sebenar dan perkhidmatannya.

“Saya rasa ramai anggota beruniform yang mengundi di KKB merasakan sama seperti saya berhubung isu kenaikan gaji. Mengapa tidak mengundi kerajaan jika mereka melakukan sesuatu yang baik untuk kita?,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sentimen ini cukup ketara dengan penjawat awam lain yang turut mengundi di KKB.

Seorang guru dari KKB, Ramanathan berkata rakan gurunya memaklumkan berita kenaikan gaji menjadi factor siapa yang akan diundi.

“Pengumuman itu datang pada masa yang tepat. Jika ada di antara kami yang ragu-ragu, saya rasa pengumuman kenaikan gaji itu menyebabkan kami mengundi PH,” kata guru sekolah menengah itu yang juga enggan dikenali dengan nama penuhnya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1 Mei mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13% mulai Disember tahun ini. Ini adalah peningkatan tertinggi dalam sejarah negara.

Peningkatan itu akan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Dengan kenaikan itu pendapatan minimum penjawat awam akan melebihi RM2,000 sebulan. Pada masa ini keseluruhan pendapatan minimum termasuk gaji dan elaun tetap ialah RM1,795 sebulan.

Pengundi lama menyokong PH

Tiga hari kemudian, apabila Menteri Besar Selangor Amirudin Shari melancarkan penjenamaan semula Perpustakaan Syed Mashor di Kuala Kubu Bharu pada 3 Mei lalu, ramai penjawat awam berpangkalan di KKB yang hadir gembira bercakap mengenai kenaikan gaji itu.

Mereka berkata kenaikan gaji sebegitu sudah lama tidak berlaku terutama bagi penjawat awam berpangkat rendah sambil menambah ia pasti akan mendorong sokongan mereka kepada calon PH pada PRK itu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail seperti dilaporkan dalam Malaysiakini juga bersetuju peralihan undi anggoa unit beruniform adalah hasil daripada “usaha kerajaan menjaga kesejahteraan pasukan keselamatan”.

Penganalisis politik, Mazlan Ali dalam pada itu berkata pertukaran itu juga boleh menunjukkan keyakinan penjawat awam terhadap dasar kerajaan.

“Di bawah Anwar, keyakinan pelabur meningkat dan pada masa yang sama kualiti perkhidmatan dan kebajikan penjawat awam diberi perhatian lebih,” katanya dilaporkan sebagai berkata.

PRK pada Sabtu lalu menyaksikan calon PH/DAP Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan calon Perikatan/Bersatu Khairul Azhari Saut. Pang memperoleh 14,000 undi diikuti Khairul dengan 10,131 undi.

Dua lagi calon - Nyau Ke Xin Bebas (188) dan Hafizah Zainuddin dari PRM (152) kehilangan wang deposit.

Walaupun bacaan awal aliran pengundian menunjukkan PH membuat beberapa keuntungan berbanding PN, sokongan umum untuk kedua-dua gabungan bagaimanapun kekal sebagai status quo.

PH menyaksikan sedikit peningkatan dalam peratusan mengundi, memperoleh 57.2% undi berbanding 54.4% pada 2023.

Bahagian undi PN juga meningkat daripada 39.3% kepada 41.4%.

Pembacaan ketara ke dalam sokongan yang lebih besar untuk mana-mana pakatan tidak pasti terutamanya dengan peratusan keluar mengundi lebih rendah pada PRK iaitu pada 61.51%, turun 7.7% daripada 2023.

Badan pemikir kerajaan Selangor Institut Darul Ehsan (IDE) dalam analisisnya berkata peratusan keluar mengundi berumur 41 tahun ke atas melebihi lebih 60%, manakala jumlah keluar mengundi golongan muda kurang daripada 55%.

Ia menambah PH mendapat sokongan pengundi berumur 41 tahun ke atas - 41-50 (58%), 51-60 (52%) dan ke atas 61 (65%), manakala PN mendapat sokongan pengundi berumur 40 tahun ke bawah - 18-24 (63%), 25-30 (65%) dan 31-40 (59%).

Jumlah pengundi bagi PRK itu ialah 40,226 manakala 40,015 sembilan bulan lalu. – 14 Mei 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen