Dana kerajaan untuk komuniti India sangat kecil, kata Ramasamy


P Ramasamy berkata walaupun semua dana untuk masyarakat India mencapai kumpulan sasar, jumlahnya adalah kecil dan sangat kecil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2024.

PROGRAM bantuan kewangan kerajaan untuk masyarakat India berdepan isu akauntabiliti dengan persoalan sama ada dana itu sampai kepada kumpulan sasar atau individu, kata P Ramasamy.

Beliau berkata walaupun semua dana itu mencapai kumpulan sasar, jumlahnya adalah kecil dan sangat kecil.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus faham 70 peratus masyarakat India adalah ahli kelas pekerja.

“Adalah tidak tepat di pihak Anwar untuk mengatakan kaum India tidak seharusnya marah atau cemburu dengan bantuan kepada masyarakat Bumiputera.

“Jika bantuan kerajaan berakhir di dalam tabung orang kaya dan berkaitan, maka bukan sahaja orang India tetapi rakyat Malaysia lain mungkin akan marah,” kata bekas pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberikan maklum balas kepada kenyataan Anwar semalam yang menafikan kerajaan mengabaikan nasib masyarakat India.

Beliau berkata peruntukan kerajaan untuk masyarakat India datang melalui bantuan RM100 juta kepada Unit Transformasi India Malaysia (Mitra), RM30 juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Nasional (Tekun) dan inisiatif lain termasuk skim pinjaman RM50 juta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk memperkasakan usahawan India khususnya wanita di negara ini.

Ini hanya kira-kira RM200 juta dalam bentuk pinjaman dan geran, tambahnya.

Anwar berkata pemimpin yang mengkritik kerajaan berhubung dasar mereka yang melibatkan masyarakat India mempunyai niat jahat untuk mengelirukan mereka dan menimbulkan rasa tidak percaya terhadap pentadbirannya.

“Sebab itu saya kata dia cuba menghasut dan mempengaruhi orang India supaya tidak faham, yang menghasut sebenarnya ada kepentingan dan sebenarnya orang kaya, dan kadang-kadang dia berdegil kerana pihaknya tidak beri jawatan, itu bukan masalah saya.

“Ini masalah yang mesti dihadapi dalam parti, sebahagian daripada mereka adalah kawan saya juga, apa yang boleh saya lakukan?” katanya merujuk kepada Ramasamy.

Beliau juga berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat India dan pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk memperkasakan mereka.

Tambah Anwar kerajaan membantu setiap lapisan masyarakat tanpa mengabaikan mana-mana golongan.

Ramasamy keluar dari DAP sebelum pilihan raya negeri November lalu dan terus menubuhkan parti politiknya sendiri bernama Urimai untuk masyarakat India.

Urimai berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menyeru pengundi India supaya tidak mengundi calon Pakatan Harapan kerana kerajaan perpaduan gagal menjaga kepentingan dan hak masyarakat.

“Kami mahu mendedahkan kerajaan sebagai tidak berminat dengan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat India.

“Kami tidak berpaksikan politik balas dendam. Tiada politik balas dendam di pihak Urimai. Urimai hanya mahu mendidik orang India dan orang lain bagaimana kerajaan pimpinan PH mengkhianati masyarakat,” tambah Ramasamy. – 2 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen