CALON Pakatan Harapan Pang Sock Tao memenangi pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 3,869 undi.
Pegawai pilihan raya Yuhanas Auree Kamaruddin berkata Pang mendapat 14,000 undi manakala calon Perikatan Nasional Khairul Azhari Saut menerima 10,131, calon Bebas Nyau Ke Xin (188) dan calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainuddin (152).
Peratusan keluar mengundi dicatatkan pada 61.51%, yang merupakan antara yang terendah dalam pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini berkata kawasan KKB di Selangor mempunyai 40,226 pemilih berdaftar.
Dalam reaksi segera, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata keputusan itu menunjukkan sokongan terhadap kerajaan perpaduan semakin meningkat.
“Keputusan rakyat hari ini adalah isyarat bahawa mereka tidak mahu ejen bahagian mewakili mereka.
“Sebaliknya, rakyat mahukan perpaduan sebagai asas untuk membawa kemajuan ekonomi di negeri dan negara yang akan meningkatkan taraf dan kualiti hidup untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan sejurus selepas keputusan itu diumumkan.
Semengara itu, Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu menyifatkan kekalahan itu berpunca daripada ketiadaan pengundi luar yang tidak pulang mengundi.
Kerusi itu kosong berikutan kematian Adun DAP tiga penggal Lee Kee Hiong pada 21 Mac akibat kanser.
Pada pilihan raya DUN Selangor tahun lalu, Lee menewaskan calon daripada PN, Parti Rakyat Malaysia dan Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia (Muda) dengan majoriti 4,119 undi. – 11 Mei, 2024.

Komen