Vaksin AstraZeneca ditarik semula di seluruh dunia


Vaksin Covid-19 AstraZeneca akan ditarik semula selepas syarikat gergasi farmaseutikal itu mengakui ia boleh menyebabkan kesan sampingan. – Gambar EPA, 8 Mei, 2024.

VAKSIN Covid-19 AstraZeneca akan ditarik semula di seluruh dunia selepas syarikat gergasi farmaseutikal itu mengakui ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku dan berpotensi berbahaya.

Dalam laporan di Telegraph (UK), dilaporkan permohonan untuk menarik semula vaksin itu dibuat pada 5 Mac dan berkuat kuasa pada Selasa.

Vaksin itu tidak lagi boleh digunakan di Kesatuan Eropah.

Menurut laporan itu, permohonan serupa akan dibuat di UK dan negara lain yang meluluskan vaksin itu yang juga dikenali sebagai Vaxzervria.

AstraZeneca berkata vaksin itu tidak lagi dikilangkan atau dibekalkan dan digantikan dengan vaksin yang dikemas kini.

Vaksin ini akan digunakan untuk menangani varian baharu.

Vaxzervria baru-baru ini mendapat perhatian terhadap kesan sampingan yang jarang berlaku yang didakwa menyebabkan pembekuan darah. – 8 Mei 2024



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen