2 lagi pegawai polis ditahan kes pemerasan RM1.25 juta


DUA lagi pegawai polis ditahan berkait pemerasan RM1.25 juta terhadap individu yang disiasat berhubung kes mata wang kripto.

Tangkapan dua individu masing-masing berpangkat inspektor dan sarjan itu menjadikan lima orang termasuk seorang pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP) telah ditahan setakat ini, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain ketika dihubungi akhbar itu berkata kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Tambah beliau, perintah reman selama empat hari juga diperoleh ke atas tiga pegawai kanan polis yang ditahan sebelum ini.

Semua pegawai kanan yang ditahan bertugas di sebuah bahagian di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman.

Terdahulu,  media melaporkan tiga pegawai kanan polis berpangkat ACP, superintendan dan inspektor berusia antara 38 hingga 50 tahun ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung kes peras ugut membabitkan RM1.25 juta.

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. – 4 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen