Rumah terbuka KKB tiada unsur kempen, kata MB Selangor


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata program rumah terbuka Aidilfitri KKB tiada unsur kempen dan bukan hanya terhad kepada warga KKB tetapi terbuka kepada semua rakyat Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2024.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari menafikan dakwaan rumah terbuka Aidilfitri oleh kerajaan negeri di pekan Kuala Kubu Baharu (KKB) semalam melanggar peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Jelasnya, program itu tiada unsur kempen dan bukan hanya terhad kepada warga KKB tetapi terbuka kepada semua rakyat Selangor.

“Program ini diadakan secara bergilir-gilir. Sebelum ini diadakan merentasi semua daerah tetapi kami memilih kawasan ini kerana kebetulan ia lokasi pertama program Rumpun Selangor oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Melihat kepada sambutan positif, kami mengambil keputusan mengadakan rumah terbuka di sini memandangkan sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini berlangsung di Dengkil atau di daerah Sepang. Mungkin untuk sambutan Hari Merdeka, kita boleh gilirkan lokasi untuk mendekatkan diri dengan masyarakat,” katanya dipetik laporan berita.

Jumaat lalu, badan pemantau pilihan raya Bersih mempersoalkan keputusan kerajaan Selangor menganjurkan rumah terbuka di KKB semasa tempoh pilihan raya.

Jawatankuasa pemandu Bersih berkata acara seperti itu boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

“Mana-mana parti politik atau calon yang bertanding dalam PRK tidak sepatutnya menganjurkan rumah terbuka kerana ia boleh bercanggah dengan AKPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih berkata semua parti yang bertanding di kerusi itu terutama kerajaan Selangor dan persekutuan perlu mematuhi etika kempen untuk pilihan raya yang bersih dan adil.

PRK KKB yang dijadualkan pada 11 Mei ini akan menyaksikan pertandingan antara empat calon.

Mereka ialah Pang Sock Tao daripada Pakatan Harapan, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (PRM) dan calon bebas, Nyau Ke Xin.

PRK itu diadakan susulan kematian Adun tiga penggal kawasan itu daripada DAP, Lee Kee Hiong. – 28 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen