Adun Bukit Gasing gesa kerajaan Selangor henti layan projek PJD Link


Noel Achariam

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran kerajaan Selangor harus berhenti membincangkan projek itu lagi kerana terlalu banyak masa sudah dibazirkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2023.

ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berkata kerajaan Selangor perlu berhenti mempertimbangkan projek Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) kerana ia sudah dua kali ditolak.

Wakil rakyat DAP itu berkata jika projek itu dibatalkan, maka tiada guna untuk mengkajinya semula.

“Pendirian saya ialah mereka (Selangor) harus berhenti membincangkan projek itu lagi kerana terlalu banyak masa sudah dibazirkan.

“Saya percaya kerajaan negeri harus bergerak dan memberi tumpuan kepada isu yang lebih penting,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Sabtu lalu, penduduk Petaling Jaya berkata kerajaan negeri tidak seharusnya mempertimbangkan sebarang cadangan semula pembinaan PJD Link.

Mereka masih berpegang kepada pengumuman Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada 31 Julai supaya projek itu dibatalkan.

Bercakap sebelum pilihan raya negeri, Amirudin berkata projek itu dibatalkan kerana pemaju tidak memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan setahun lalu seperti mematuhi penilaian kesan sosial dan alam sekitar (SIA, EIA).

Beliau kemudiannya menjelaskan projek itu boleh diteliti semula jika pemaju memenuhi keperluan yang diperlukan.

Rajiv bagaimanapun berkata menteri besar menjelaskan projek itu tidak sepatutnya diteruskan.

“MB sudah kata tidak. Jadi, mari kita teruskan. Projek ini harus dibatalkan untuk selama-lamanya.

“Berapa kali mereka (pihak berkuasa) mahu terus menyemak semula kelulusan untuk projek ini?”

Pemegang taruh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Menentang Projek PJD Link David Yoong Lai Hon berkata mereka dimaklumkan pemaju sudah menyerahkan laporan penilaian impak sosial (SIA) yang disemak semula.

“Kami menyemak dengan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor dan memaklumkan mereka sedang mendapatkan pakar luar untuk menilai laporan SIA itu.

“Kami diberitahu ia bukan laporan SIA baru tetapi versi yang disemak semula. Apa yang kita mahu ialah projek itu dibatalkan.”

Yoong berkata projek itu harus dibatalkan kerana ia jauh lebih teruk daripada Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) yang dibatalkan pada 2015.

Beliau juga berkata tinjauan bebas yang dijalankan dari Februari hingga April membabitkan 17 persatuan penduduk, badan pengurusan bersama, dan kumpulan masyarakat sivil menyatakan 93% daripada mereka membantah projek itu.

PJD Link yang dicadangkan ialah mempunyai laluan berkembar sepanjang 25.4km bermula selepas plaza tol NKVE di Lebuhraya SPRINT di Damansara.

Ia berakhir di persimpangan lebuh raya Bukit Jalil.

Projek itu dirancang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menyokong pertumbuhan masa depan di Lembah Klang.

Pemaju PJD Link menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan pada 5 April tahun lalu. – 27 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen