Mahasiswa Selangor dapat baucar buku minggu depan, kata MB


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri sudah melaksanakan empat janji dalam manifesto Tawaran Kita Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2023.

KERAJAAN negeri Selangor akan memberikan baucar buku Kita Selangor bernilai RM200 kepada mahasiswa negeri itu minggu depan, sekali gus menunaikan lima janji yang ditawarkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos lalu.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, ia perkara terakhir daripada lima tawaran yang dijanjikan dalam manifesto Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari pada PRN Selangor.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya sudah melaksanakan empat perkara iaitu insentif Mama Kerja berjumlah RM1,000 kepada wanita, pengecualian cukai pintu, kenaikan elaun imam, bilal dan siak serta insentif pertanian sebanyak RM1,000.

“Kita dah penuhi dalam tempoh 100 hari semua janji. Insya-Allah kita tekad untuk meneruskan beberapa perkara lain lagi yang akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Jelajah Madani bersama Menteri Sumber Manusia siri ketiga yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia V Sivakumar di balai raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Gombak hari ini.

Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) Selangor memberi jaminan melaksanakan lima perkara yang dijanjikan dalam manifesto Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari jika diberikan mandat dalam PRN Selangor pada 12 Ogos.

Gabungan dua parti gergasi politik tanah air itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Amiruddin berkata pelbagai berita baik menanti rakyat negeri itu dalam Belanjawan Selangor 2024 yang akan dibentangkan pada 10 November ini.

Beliau berkata ia termasuk mengembangkan industri tertentu, menambah insentif kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dan berkaitan dengan perkembangan agama Islam. – Bernama, 5 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen