Selangor yakin tarik pelaburan berkualiti tinggi, kata MB 


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata negeri itu sedang meneruskan pelaburan dalam pengangkutan awam, penyelesaian perubahan iklim, pembuatan berkualiti tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2023.

SELANGOR menyasar untuk menarik pelaburan terpilih berkualiti tinggi seiring dengan industri semasa yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata negeri itu sedang meneruskan pelaburan dalam pengangkutan awam, penyelesaian perubahan iklim, pembuatan berkualiti tinggi terutamanya melalui automasi atau bidang baharu dalam bioteknologi dan farmaseutikal untuk persediaan menghadapi endemik atau pandemik seterusnya.

“Adalah jelas bahawa perniagaan berkaitan pelaburan bukan semata-mata berdasarkan masa silam.

“Itulah sebabnya saya memberitahu pasukan yang terlibat untuk menarik pelaburan walaupun Selangor telah mencatatkan prestasi yang baik, kita tidak boleh mengambil mudah atau leka, berharap kejayaan masa lalu dapat menjamin kejayaan masa depan,” katanya dalam ucapan perasmian semasa Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 edisi ketujuh di Kuala Lumpur hari ini.

Amirudin berkata pasukannya telah berusaha keras untuk menarik pelabur asing untuk menjalankan perniagaan di Selangor.

“Saya merasmikan pusat pengedaran global terbesar Daiso Jepun baru-baru ini, ia akan dibina di Pulau Indah, Selangor,” katanya.

Selain itu, pelabur lain seperti Toyota, Texas Instruments, Wistron, Airbus, Aerodyne dan ALP telah memainkan peranan penting dalam ekonomi Selangor, menyumbang pertumbuhan sebanyak 11.9%  kepada Selangor pada 2022, melepasi kadar pertumbuhan negara sebanyak 3.2%,” katanya.

Edisi ketujuh SIBS 2023 yang bermula hari ini hingga 22 Oktober akan menampilkan beberapa komponen pameran perdagangan termasuk Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor, Ekspo Perubatan Antarabangsa Selangor dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor baharu dengan sekurang-kurangnya 1,050 gerai dibuka untuk 50,000 pengunjung.– Bernama, 19 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen