Selangor selesaikan hutang persekutuan RM19 juta tahun depan, kata MB


KERAJAAN Selangor menyasarkan untuk membayar hutang persekutuannya berjumlah RM19.2 juta tahun depan, kata Menteri Besar Amirudin Shari hari ini.

Beliau berkata, Selangor berhutang dengan kerajaan persekutuan dalam jumlah itu, yang terdiri daripada pinjaman untuk projek bekalan air dan skim Amanah Saham Selangor (Asas).

Beliau menambah ini boleh dibuat kerana negeri menikmati kebebasan kewangan yang kukuh.

“Ini membuktikan kami adalah yang terbaik dalam soal tadbir urus. Kami cemerlang dalam menguruskan kewangan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kami yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024.

Amirudin berkata menyelesaikan hutang Selangor adalah langkah penting ke arah kestabilan dan kemampanan kewangan.

Terdahulu beliau membentangkan RM2.53 bilion bajet negeri untuk 2024, yang mana RM1.33 bilion, atau 52.6%, telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pentadbiran.

Beliau berkata sejumlah RM1.2 bilion, atau 47.4% daripada bajet negeri, telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

Negeri itu juga menyasarkan kutipan hasil RM2.2 bilion pada 2024.

“Salah satu penyumbang utama hasil negeri pada 2024 ialah premium tanah, berjumlah RM890.94 juta. Ini bersamaan dengan 40.5% daripada jumlah anggaran hasil,” kata Amirudin.

Beliau juga mengumumkan sebanyak RM68 juta akan diperuntukkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran negeri untuk pengurusan air, saliran dan sumber air yang lebih baik.

“Kerajaan negeri juga akan memperuntukkan RM65 juta untuk pelbagai projek pembangunan termasuk tebatan banjir, pembangunan sistem perparitan, pembangunan lembangan sungai, pembangunan air dan hidrologi, pengurusan perparitan mesra alam, dan pembangunan pantai, yang merangkumi 103 program,” kata Amirudin.

Beliau seterusnya berkata Selangor akan bekerjasama rapat dengan Putrajaya untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Selangor termasuk projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 yang dianggarkan menelan belanja RM3 bilion. – 10 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen