MIC gesa pengundi India sokong kerajaan perpaduan


Presiden MIC SA Vigneswaran berkata sekarang bukan masanya untuk menunjukkan rasa tidak senang terhadap kerajaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2024.

PENGUNDI India mesti bijak mengundi dalam pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, kata Presiden MIC SA Vigneswaran.

Beliau berkata masyarakat mesti menyokong kerajaan sedia ada dan sekarang bukan masanya untuk menunjukkan rasa tidak senang terhadapnya.

“Masih wujud rasa tidak puas hati terhadap kerajaan di kalangan kaum India. Bagaimanapun, mereka harus sedar bahawa jika mereka mahu menukar sokongan mereka pada pilihan raya kecil ini, ia masih tidak akan menjejaskan kedudukan perdana menteri dan pentadbiran negeri.

“Jadi, pengundi mesti membuat pilihan yang tepat dengan mengundi Pakatan Harapan pada PRK,: katanya kepada pemberita di Putrajaya malam tadi.

Beliau berkata kemenangan Pakatan Harapan, disokong kuat oleh kaum India, akan mengukuhkan wakil rakyat India yang merupakan sebahagian daripada kerajaan, kerana mereka akan dapat meminta peruntukan tambahan dan bantuan untuk masyarakat.

“Jika masyarakat India merasakan kerajaan masih tidak menunaikan janji, mereka boleh membuat keputusan (untuk menukar sokongan) pada pilihan raya umum akan datang. Masanya bukan sekarang,” beliau dipetik sebagai berkata.

Gesaan presiden MIC itu dibuat berikutan wujud rasa tidak puas hati masyarakat India terhadap pentadbiran Anwar.

Antara isu yang dibangkitkan masyarakat termasuk kekurangan menteri India daripada masyarakat berbahasa Tamil dalam kerajaan Anwar, berikutan rombakan kabinet Disember lalu.

Perikatan Nasional mencalonkan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut manakala DAP meletakkan Pang Sock Tao bagi mempertahankan kerusi itu.

Kerusi KKB berada di tangan DAP sejak 2013.

Pilihan raya kecil 11 Mei itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat tiga penggal kerusi itu Lee Kiong Hiong daripada DAP.

Pada pilihan raya negeri Selangor tahun lepas, Lee memenangi kerusi Pakatan Harapan dalam pertandingan empat penjuru menentang calon daripada PN, Muda dan Parti Rakyat Malaysia. – 27 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen