Tidak perlu boikot PRK KKB, cuma jangan undi Pakatan, kata Ramasamy


Pengasas Urimai P Ramasamy menggesa masyarakat India di Kuala Kubu Baharu agar tidak mengundi calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil 11 Mei ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2024.

PENGUNDI kaum India di Kuala Kubu Baharu tidak perlu mendengar gesaan untuk memboikot pilihan raya kecil 11 Mei, tetapi hanya elakkan undi Pakatan Harapan (PH), kata P Ramasamy hari ini.

“Kami tidak meminta pengundi mengelak daripada menggunakan hak demokrasi mereka. Bagaimanapun kita minta pengundi khususnya kaum India supaya tidak mengundi calon PH/DAP,” kata pengerusi parti Urimai yang baru ditubuhkan itu.

Bekas pemimpin DAP itu turut menegaskan partinya tidak mempunyai sebarang hubungan tidak rasmi atau rasmi dengan pembangkang, terutamanya Perikatan Nasional yang kelihatan membenarkan ahlinya Gerakan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

“Kami hanya mahu memberi pengajaran yang menyakitkan kepada kerajaan pimpinan PH. Kepelbagaian kaum yang dilaungkan kerajaan amnya dan DAP dan PKR adalah palsu.

“Masyarakat India telah dibawa dalam perjalanan jauh tanpa sebarang hasil yang bermanfaat.

“Terdapat banyak rasa tidak puas hati dan kekecewaan yang meningkat di kalangan kaum India,” bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan.

Kaum India terdiri daripada kira-kira 18% pengundi KKB, dan Ramasamy menganggap mereka sebagai king maker dalam pilihan raya kecil ini.

Pengundi Melayu membentuk 46%, Cina (31%), diikuti oleh yang lain (5%).

Kerusi KKB kosong berikutan kematian penyandangnya daripada PH/DAP, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac.

Sebelum ini, beberapa aktivis menggesa pengundi India di KKB memboikot pilihan raya bagi menghantar mesej kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa masyarakat India tidak berpuas hati dengan kerajaannya.

Aktivis-aktivis ini, yang sebahagiannya pernah berkempen untuk PH pada pilihan raya umum lalu dan pilihan raya enam negeri, berkata mereka kecewa dengan kerajaan kerana mengabaikan nasib kaum India.

Salah seorang daripada mereka, Thiru Nadaraja yang senada dengan Parti Kemajuan Malaysia, berkata masyarakat India KKB perlu menjauhi pilihan raya kecil untuk menunjukkan bahawa mereka sudah cukup “mengemis dan diperas untuk undi”.

Tambahnya, nasib kaum India tidak akan berubah walaupun mereka mengundi di KKB.

Bagaimanapun aktivis yang lain seperti presiden Pertubuhan Rapat Aman Malaysia (Rapat) A Rajaretinam berkata pengundi India di KKB harus membuang undi rosak.

“Kami cuma mahu katakan DAP perlu dikalahkan. Pengundi India mesti memberi ‘hadiah’ kepada DAP.

“Ini hanyalah pilihan raya kecil untuk kerusi DUN. Kekalahan DAP tidak akan mengubah persamaan (politik) di negeri itu. Ini hanya mesej kuat daripada masyarakat India (kepada DAP),” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sementara itu, Exco Selangor V Papparaidu menerusi laporan Malaysiakini mengesahkan terdapat usaha untuk meyakinkan pengundi India bagi memboikot pilihan raya kecil itu.

“Ini salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

DAP bersedia untuk menamakan calonnya bagi pilihan raya kecil itu bagi pihak PH. Barisan Nasional bagaimanapun akan menyokong sekutu baharunya dalam kerajaan perpaduan.

Parti komponen BN, MCA dan MIC telah menyatakan mereka tidak akan memainkan peranan dalam pilihan raya kecil ini kerana calon mereka tidak bertanding. Terdapat juga laporan bahawa MCA, yang telah lama memegang kerusi ini, mempertimbangkan untuk bertanding sebagai calon bebas. – 19 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen