Tiada kompromi dalam isu 3R, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata tiada siapa yang akan terlepas daripada berdepan tindakan kerana mempermainkan isu 3R. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata tiada siapa yang akan terlepas daripada berdepan tindakan kerana mempermainkan isu kaum, agama dan diraja (3R).

Beliau secara khusus memberi amaran tiada siapa yang patut mencabar institusi diraja.

“Saya tidak kisah siapa kamu, apa jawatan kamu, atau kamu dari parti mana.

“Jangan ugut kami jika tindakan diambil (terhadap anda), lebih-lebih lagi perkara berkaitan 3R,” katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Anwar menambah institusi diraja adalah tonggak negara dan kerajaan akan mempertahankannya.

“Kami tidak akan berkompromi (dalam perkara ini),” kata Anwar.

Beliau menjawab soalan mengenai penahanan dua jam Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh di Kota Kinabalu awal hari ini.

Anwar bagaimanapun berkata beliau tidak percaya Akmal telah ditangkap dan hanya dipanggil untuk membantu siasatan.

Awal pagi tadi polis Kota Kinabalu mengiringi Akmal untuk disoal siasat sejurus selepas dia tiba lapangan terbang Kota Kinabalu.

“Saya berada di sana selama kira-kira dua jam setengah. Mereka mengambil kenyataan dan saya memberikan kerjasama penuh kepada polis.

“Seluruh proses itu dilakukan secara profesional,” katanya kepada pemberita yang menunggu di luar balai polis kira-kira 12.15 tengah hari.

Akmal sebelum ini menggesa agar kedai serbaneka KK Mart diboikot selepas didapati menjual stoking yang dicetak dengan kalimah “Allah”.

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata satu kenyataan diambil daripada Akmal atas pertuduhan berkaitan hasutan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dalam satu kenyataan berkata polis menyiasat Akmal di bawah undang-undang hasutan dan komunikasi serta multimedia.

Tambahnya polis menerima dua laporan terhadap Akmal. – 5 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen