Isu tafsir sendiri ayat al-Quran: Howard Lee beri keterangan Selasa ini


Laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil terhadap Lee yang dianggap menghina Islam kerana membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran sekali gus menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2023.

AHLI Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How akan memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan terhadapnya yang didakwa membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran, Selasa ini.

“Pihak polis sudah menghubungi saya dan saya akan memberikan kenyataan pada tengah hari Selasa ini di Ipoh,” katanya, hari ini.

Howard berkata beliau akan memberi kerjasama penuh kepada polis namun enggan mengulas lanjut.

Pada Jumaat lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya akan merekod keterangan Ahli Parlimen DAP itu dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas JSJ Bukit Aman.

Sebelum itu, Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata laporan asal atau laporan pertama kes tersebut dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur manakala badan bukan kerajaan iaitu Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak turut membuat laporan pada Khamis lepas.

Presiden Jabat Perak Amiruddin Mohd Daud berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil terhadap Lee yang dianggap menghina Islam kerana membuat tafsiran sendiri ayat al-Quran sekali gus menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum. – Bernama, 24 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen