Dr Mahathir, 2 lagi disoal siasat berhubung isu 3R


Noel Achariam

Dr Mahathir Mohamad hari ini disoal siasat berhubung dakwaan kenyataan sensitif mengenai kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang dibuat semasa mesyuarat Proklamasi Melayu baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2023.

POLIS hari ini menyoal siasat Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan kenyataan sensitif mengenai kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang dibuat semasa mesyuarat Proklamasi Melayu baru-baru ini.

Bekas perdana menteri itu disoal siasat di Unit Siasatan Jenayah Terkelas, D5 Bukit Aman di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur.

Turut disoal siasat polis ialah bekas timbalan menteri luar negeri Marzuki Yahaya dan Pengerusi Sekretariat Proklamasi Melayu Khairuddin Abu Hassan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan (JSJ) Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan ketiga-tiga mereka diambil keterangan oleh polis, lapor New Straits Times.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang butiran lanjut mengenai proses itu yang dikatakan bermula jam 3 petang dan berlangsung kira-kira setengah jam.

Video yang dikeluarkan dalam kumpulan media WhatsApp Dr Mahathir juga mengesahkan ketiga-tiga mereka dipanggil untuk disoal siasat.

Terdahulu dalam catatan Facebook Dr Mahathir berkata ramai juga yang mempersoalkan mengapa beliau begitu marah mengenai larangan bercakap mengenai isu 3R.

“Kerajaan tidak boleh larang apa-apa melainkan ia ada kaitan dengan keselamatan negara.

“Larang 3R terlalu umum. Tidak dijelas kenapa dan bagaimana bercakap berkenaan 3R boleh mencetus bahaya terhadap negara.

“Apakah kalau saya kata “Saya orang Melayu” maka ia mengancam keselamatan negara,” katanya.

Dr Mahathir berkata larangan itu terlalu umum dan rakyat takut dipersalahkan apabila menyebut kaum, agama dan institusi diraja.

“Ini tidak sihat. Rakyat berhak bercakap berkenaan masalah mereka.

“Apa gunanya pilihan raya jika masalah rakyat tidak boleh disuarakan oleh rakyat dan oleh calon yang berjuang untuk rakyat,” katanya. – 29 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen