Tempahan lokasi perhimpunan Melayu esok dibatalkan


Noel Achariam

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka menghadiri perhimpunan Proklamasi Orang Melayu esok, namun penganjurnya masih mencari lokasi berikutan dua kali pembatalan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2023.

LOKASI perhimpunan Orang Melayu Proklamasi esok yang akan dihadiri bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dibatalkan.

Penganjur berkata lokasi awal (Hotel Impiana di Kuala Lumpur) terpaksa dibatalkan kerana masalah teknikal dan mereka terpaksa mencari tempat baharu.

“Bagaimanapun, kami juga tidak dapat lokasi kedua (Pusat Konvensyen Sime Darby di Kuala Lumpur) kerana pihak pengurusan telah membatalkan tempahan kami malam tadi pada jam 9 malam.

“Pihak pengurusan juga tidak memberikan sebarang alasan untuk pembatalan itu. Kami memohon maaf kepada tetamu kami atas pertukaran lokasi sebanyak dua kali.”

Urusetia perhimpunan akan membuat pengumuman tidak lama lagi mengenai status perhimpunan yang dijadualkan esok.

Penganjur berkata ini bukan acara politik, tetapi lebih kepada membincangkan isu masyarakat Melayu, termasuk ekonomi dan kos sara hidup.

Acara itu akan berlangsung esok di Pusat Konvensyen Sime Darby di Kuala Lumpur.

Mengenai kehadiran Dr Mahathir, penganjur berkata beliau akan menyertai atas kapasiti peribadinya untuk menyaksikan upacara menandatangani “pengisytiharan”.

Ucapan perasmian akan disampaikan oleh bekas penolong ketua pengarang Utusan Zaini Hassan, manakala ahli akademik dan bekas senator Ibrahim Abu Shah akan menjadi moderator majlis itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam memberi amaran beliau telah mengarahkan pasukan keselamatan berjaga-jaga jika ada pihak yang mempermainkan sentimen perkauman dan agama.

Walaupun beliau tidak membuat sebarang rujukan khusus kepada mana-mana kumpulan, Anwar berkata mereka yang menyimpan perasaan tidak puas hati akan menggunakan sentimen ini untuk mencetuskan kekacauan. – 18 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen