Bicara 2 pegawai PetroSaudi dituduh curi dana 1MDB bermula hari ini


DUA rakan utama dalam PetroSaudi International yang dituduh menyeleweng AS$1.83 (RM8.6) bilion dana 1Malaysia Development Berhad  (1MDB) melalui usahasama palsu akan dibicarakan hari ini.

Tarek Obaid dan Patrick Mahony dituduh oleh pendakwa raya Switzerland memperkayakan diri daripada perbuatan itu.

Tarek, warganegara Arab Saudi yang menetap di Switzerland, dijadualkan hadir hari ini bersama pengurus pelaburan utama British PetroSaudi, Mahony di Mahkamah Persekutuan Switzerland di Bellinzona, mengikut laporan Sarawak Report.

Menurut laporan tersebut, sebelum jenayah itu dilakukan, Obaid hanya mempunyai beberapa ribu franc dalam akaun banknya. Namun, hasil penyelewengan itu, beliau memperoleh AS$580 juta dan sekurang-kurangnya AS$225 juta lagi secara tidak langsung melalui aktiviti itu.

Dalam surat dakwaan yang meliputi beratus-ratus muka surat, kedua-dua individu tersebut menghadapi pelbagai tuduhan termasuk penipuan serius, pengubahan wang haram, dan penghalangan berkaitan dengan kes tersebut. 

Turut dinyatakan dalam surat dakwaan itu seorang daripada penerima manfaat utama penyelewengan, Putera Saudi Turki bin Abdullah, ditahan atas tuduhan berasingan di Arab Saudi sejak 2017 dengan keberadaannya tidak diketahui. Sebelum ini, beliau adalah pemegang saham 50% dalam kumpulan tersebut.

Dalam butiran dakwaan, turut dinyatakan bagaimana sejumlah AS$77 juta disalurkan kepada Putera Turki daripada hasil penyelewengan.

Xavier Justo, pemberi maklumat utama dalam kes ini, adalah antara individu yang dijangka menghadiri perbicaraan. Bekas pengarah PetroSaudi itu menjadi sasaran soal balas yang agresif selepas beliau mengeluarkan dokumen daripada pangkalan data syarikat yang mendedahkan penipuan tersebut.

Dana pembangunan 1MDB ditubuhkan beberapa bulan selepas Najib Razak menjadi perdana menteri pada 2009. Penyiasat mendakwa lebih AS$4.5 bilion dicuri daripada dana tersebut dan “dicuci” oleh rakan subahat Najib melalui pelbagai lapisan akaun bank di Amerika Syarikat dan negara lain untuk membiayai filemHollywood dan pembelian mewah termasuk hotel, yacht mewah, seni dan perhiasan. Lebih AS$700 juta masuk ke akaun bank Najib.

Najib sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyeleweng dana  SRC International, yang dulunya merupakan anak syarikat 1MDB.

Bekas perdana menteri itu juga menghadapi tiga perbicaraan lain atas peranannya dalam skandal itu. Penyiasat menganggarkan kira-kira AS$4.5 bilion dicuri dan lebih AS$1 bilion dimasukkan ke akaun yang mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri itu, yang mengatakan beliau diperdaya oleh pengarah 1MDB yang sedang diburu, Low Taek Jho, dan pihak lain mengenai sumber dana. – 2 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen