1MDB tekan Deutsche Bank percepat kirim AS$1 bilion, mahkamah diberitahu


Raevathi Supramaniam

DEUTSCHE Bank Malaysia Berhad (DBMB) telah didesak untuk mempercepatkan kiriman wang AS$1 bilion bagi memenuhi tarikh akhir ditetapkan bekas perdana menteri Najib Razak, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Jackqueline Ho Yek Wan, bekas pengarah urusan (ketua jualan korporat pasaran global) di Deutsche Bank berkata, Casey Tang, bekas pengarah eksekutif 1MDB, telah memberitahunya yang penghantaran wang perlu dibuat selewat-lewatnya pukul 4 petang pada 30 September 2009.

Tang, ialah rakan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low yang kini berada dalam senarai merah Interpol.

“Tang meminta DBMB melaksanakan pemindahan dana secepat mungkin,” kata Ho dalam kenyataan saksinya.

“Tang gigih mendesak DBMB sekali lagi, yang DBMB perlu mempercepatkan proses pemindahan wang kerana perdana menteri ketika itu Najib mahu mengadakan sidang media mengenai usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd (PSI)”

Ho berkata Tang memberitahunya  urus niaga itu juga sangat penting kerana ia melibatkan usaha niaga kerajaan-dengan-kerajaan (G2G).

Peguam Najib Wan Aizuddin Wan Mohamad, bagaimanapun, membangkitkan bantahan terhadap keterangan khusus ini, berkata ia adalah khabar angin.

Ketika pemeriksaan balas oleh Aizuddin, Ho berkata Tang memberitahunya tentang keperluan mendesak pada 30 September, malah telah menunggu di pejabat DBMB semasa penghantaran wang sedang dilaksanakan.

“Adakah wakil yang dikatakan ini mendorong anda untuk buat peralihan secepat mungkin?” soal Aizuddin.

Ho berkata, tidak, kerana transaksi itu akan selesai pada 30 September.

“Ya dan tidak. Kami tetap akan buat pada hari itu juga. Untuk urus niaga USD, kami akan selesai selewat-lewatnya pukul 5 petang, tetapi saya minta orang operasi untuk utamakan transaksi ini,” katanya.

“Sudah tentu, (kiriman wang) tidak akan ditangguhkan ke hari berikutnya. Ada arahan jelas (dari 1MDB) untuk kirim pada 30 September.”

AS$1 bilion akhirnya dikirim sekitar pukul 3 petang itu. Ho juga mengesahkan Najib sememangnya telah membuat pengumuman projek usaha sama itu.

“Sekitar pukul 4 petang, saya semak artikel itu dalam talian. Saya pergi ke bahagian pematuhan sebagai sebahagian daripada dokumentasi untuk katakan ini adalah wakil pelanggan dan pengumuman telah dibuat.” – 21 Jun, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen