Gaji penjawat awam tak mampu tampung kenaikan kos sara hidup, kata Cuepacs


Anwar Ibrahim ketika bertemu penjawat awam selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November 2022. – Gambar fail Jabatan Penerangan Malaysia, 21 Januari, 2024.

KEDUDUKAN gaji penjawat awam pada masa ini dilihat tidak mampu menampung beban perbelanjaan, susulan peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat.

Beliau berkata, justeru langkah menaikkan gaji penjawat awam wajar dilaksanakan segera tanpa perlu menunggu pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Walaupun kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyatakan sistem ini mungkin siap hujung tahun ini namun bagi Cuepacs, sama ada siap atau tidak, ia adalah perkara yang baik. Tetapi kami mahu kenaikan gaji penjawat awam dinaikkan lebih awal.

“Ini kerana ramai dalam kalangan penjawat awam yang tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup yang tinggi ketika ini berbanding kedudukan gaji semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Sungai Petani, Kedah hari ini.

Menurutnya, Cuepacs amat berharap peningkatan itu dapat dilaksanakan lebih awal tanpa perlu menunggu SSPA siap sepenuhnya.

“Apa yang kami cadangkan adalah kenaikan RM300 dan ia akan diselaraskan semula apabila SSPA siap kelak.

“Jika kerajaan tidak mampu, Cuepacs akan tetap meneruskan tuntutan. Mungkin bukan dalam bentuk gaji sebaliknya dalam bentuk elaun khas sistem saraan dan elaun ini akan ditutup apabila sistem siap dan pelarasan gaji diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

Menurut Adnan, setakat ini semua tuntutan yang dikemukakan Cuepacs dipandang serius oleh kerajaan.

“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) menyebut agar penjawat awam mendapat pulangan yang baik dan diberi gaji yang lebih adil dengan pekerjaan mereka.

“Semua tuntutan Cuepacs dipertimbangkan oleh kerajaan, mungkin sedikit terlewat dari segi pelaksanaan sistem saraan ini, maka disebabkan itu kami minta kenaikan gaji dibuat lebih awal,” katanya. – Bernama, 21 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen