Cuepacs jangka PM umum berita baik kepada penjawat awam 8 Ogos ini


Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata kerajaan memberikan komitmen tinggi bagi menambah baik kebajikan penjawat awam di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2023.

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menjangkakan pengumuman berita baik kepada penjawat awam oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 8 Ogos ini.

Presidennya Adnan Mat berkata kerajaan memberikan komitmen tinggi bagi menambah baik kebajikan penjawat awam di negara ini termasuk Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang sedang diguna pakai dilaksana sejak 1 November 2002.

“Cuepacs berterima kasih kepada perdana menteri dalam kenyataanya baru-baru ini iaitu kerajaan sedang menilai dan akan mengumumkan sesuatu kepada penjawat awam dalam waktu terdekat.

“Kami dimaklumkan ada satu perhimpunan penjawat awam bersama perdana menteri pada 8 Ogos, mudah-mudahan pada pertemuan itu, ada sesuatu untuk penjawat awam sebagaimana perkara kami bentangkan kepada perdana menteri pada perjumpaan 18 Julai lalu,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Malaysia Madani Perkhidmatan Awam Bersama Cuepacs dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Jabatan Perdana Menteri di Seremban, hari ini.

Adnan berkata perdana menteri mempengerusikan mesyuarat berhubung keperluan khusus kepada penjawat awam baru-baru ini dan satu pasukan kajian bagi sistem saraan ditubuhkan bagi memperhalusi pelbagai perkara bagi menambah baik kebajikan kumpulan itu. 

 “Tuntutan kami dimasukkan dalam pasukan kajian tersebut dan mungkin belum selesai lagi ketika ini, tetapi apa diharapkan adalah satu bentuk kelegaan semasa untuk penjawat awam bagi menampung perbelanjaan keluarga sementara menunggu kajian sistem saraan itu dimuktamadkan,” katanya.

Perdana menteri dilaporkan akan mengumumkan beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam dalam tempoh seminggu dua lagi. – Bernama, 26 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen